Kemanisan Dalam Ujian...
- Gambar Hiasan
Bismillahirrahmanirrahim...Alhamdulillah, kini kita masih diberi nafas kurniaan ALLAH azza wajalla untuk kita meneruskan tanggungjawab sebagai seorang insan yang menjadi hamba Allah Aa Wajalla...pejam celik, kini hanya beberapa hari sahaja Ramadhan kareem bakal meninggalkan kita..Allahu Allah, sedihnya...apa kan daya, ini lah lumrah perjalanan hidup kita yang telah diatur Allah Jalla Wa'ala...Allahu Allah., aku sedar, ujian Ra,adhan kali ini berat bagi ku, 1 per 1 Engkau berikan pada ku...:(..beratnya...pedihnya...sakitnya..:(..hanya Engkau yang memngerti akan kepedihan yang menimpa hati ku ini..:(..Namun, aku perlu kuat, kerana aku yakin, Engkau pasti berikan yang terbaik...Ya Allah, ampunilah segala dosa2 ku...berikan aku kekuatan menempuhi segala rintangan dan ujian hidup ini...Amin...
Allahu Allah, disini InsyaAllah saya cuba kongsikan 1 artikel berkaitan ujian sebagai penawar agar semangat kita kuat terus menempuhi segala ranjau kehidupan...Terbaru, negara kita Malaysia menerima ujian berat, bahkan ujian buat pemimpin kita iaitu Kapal MH17 terhempas, yang mana sebelum ini sebuah kapal yang misteri telah hilang MH370 sehingga kini belum mterungkai...Ayuh bersama kita doakan buat pemimpin kita agar tabah dan diberi kekuatan menempuhi segalanya dan doakan semuanya dapat diselesaikan dengan baik...ALLAHUMMA AMEEN...
dan ingatlah "Ujian adalah tarbiyah dari Allah, apakah kita akan sabar ataupun sebaliknya, kesenangan yang datang selepas kesusahan semuanya adalah nikmat dari ALLAH JALLA WA'ALA..."
Kemanisan Dalam Ujian
Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau
terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic)
dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil.
Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan.
Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah.
Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan
saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana
begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri
tersebut untuk menangkapnya.
Apabila sampai di Madyan, Musa a.s.
mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di
sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang
melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang
dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut.
Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya)
“Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).
Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak
membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi
keletihan yang dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat
yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia
menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.
Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam
keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa
dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti
sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati
keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba
menterjemahnya dalam strukturnya.
Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca
yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca
al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan
kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi
suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada
kita.
Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan
saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan
getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk
perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan
ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada
Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah
itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya:
(maksudnya)
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).
Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada
apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi
suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran
riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat
ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam
bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang
padat dan indah.
Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’
atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan
sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan
kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini
diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.
Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana
kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah
mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang
yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran
tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau
orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi
Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.
Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan,
kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut.
Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna.
Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh
tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba
yang benar-benar bergantung kepadaNya.
Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman
oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana
menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s
mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar.
Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku.
Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh
akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran,
samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang
diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.
Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa
al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup
yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan
tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha
Menguasai segala urusan hidup ini.
Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu
menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek
kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang
bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi
akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang
lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan
yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi
Allah disebabkan ujian yang menimpanya.
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).
Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’
Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah,
atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).
Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf.
Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran
tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan.
Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan
atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam
perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.
Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui
pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu
yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi
kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa
a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (“Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).
Allahu Akbar, satu perkongsian yang baik daripada seorang guru iaitu Dr MAZA, moga ia bermanfaat buat diri kita semua...Akhir kalam, ayuh tingkatkan iman kita agar kita terus dekat dengan ALLAH JALLA WA'ALA...
By Qalam Hazim
Comments
Post a Comment