Medan Ilmu Seluas Lautan
Sejak kita
dilahirkan, kita melalui proses pembelajaran menimba ilmu. Dari satu usia
keusia yang lain. Dari merangkak, kita belajar berjalan. Pada awal percubaan,
kita akan terjatuh. Begitulah lumrah dalam menimba ilmu. Cabaran itu pasti ada.
Proses mencapai tahap untuk pandai berjalan dari merangkak itu berterusan sehinggalah
kita mampu berjalan dengan kaki sendiri.
Begitulah fitrahnya, gambaran kepada diri kita. Perjalanan untuk menimba ilmu itu bermula sejak
diusia kecil. Dibimbing oleh kedua-dua ibu bapa yang ingin melihat anaknya
berjaya. Kita tidak bisa memperolehinya melainkan kita mesti melalui proses
menimba ilmu, mencuba sehinggalah berjaya.
Mencari dan
menimba ilmu itu tidak lain tidak bukan adalah untuk kita berusaha membentuk
diri menjadi insan yang berguna. Menjadikan diri kita sebagai insan memberi manfaatkan
kepada orang lain dan terus mendekatkan diri kepada Allah. Bahkan sesungguhnyaa Allah akan
mengangkat martabat kita sebagai penuntut ilmu. Allah S.W.T berfirman dalam
Al-Quran:
يَرْفَعِ
اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan
orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan
beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]
Ilmu Satu Keperluan
Dalam
kehiduapan kita ini, tiada apa yang menjadi keperluan kita melainkan kita mesti
mencari dan menimba ilmu. Ingin menjadi seorang Arkitek, mesti menuntut ilmu.
Ingin menjadi Doktor Perubatan, mesti menuntut ilmu. Ingin menjadi Peguam,
mesti menuntut ilmu. Ingin menjadi Tentera, mesti menuntut ilmu. Ingin menjadi
seorang Pemimpin, mesti menuntut ilmu.
Hatta hendak
menjadi Perdana Menteri mahupun Ulamak, mesti menuntut ilmu. Dengan erti kata
mudah ilmu menjadi keperluan untuk mencaapai apa yang diimpikan. Mana ada
angan-angan dan impian itu datang dengan sendirinya. Impian itu bernilai
harganya.Jadinya, mahu memilikinya mesti dengan ilmu.
Sebahagian
dalam kalangan kita mungkin menganggap bahawa hukum menuntut ilmu sekadar
sunnah sahaja, yang diberi pahala bagi yang melakukannya dan tidak berdosa bagi
siapa sahaja yang meninggalkannya. Pandangan sebegini adalah salah. Sedangkan
ianya merupakan satu perintah keatas kita semua. Rasulullah s.a.w bersabda
dalam satu hadith:
طَلَبُ
الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
”Menuntut ilmu
itu wajib atas setiap muslim”. (Sunan Ibnu
Majah no. 224)
Dicari Untuk Bekalan
Ilmu itu ibarat
cahaya menyinari kehidupan. Ibarat mentari menerangi bumi di siang hari. Ibarat
bulan dengan sinaran purnama diwaktu malam. Begitu perlunya ilmu dalam kehidupan.
Tanpa ilmu, kita tidak tahu bagaimana melakukan sesuatu perkara. Benarlah ilmu
itu menjadi keperluan untuk kita semua.
Hidup ini ialah
soal pilihan. Apa yang kita pilih, itulah yang akan kita dapat. Apabila kita
membuat pilihan, perlu sanggup untuk menerima kesan dan akibat di atas setiap
pilihan yang kita buat. Kesan tersebut mungkin berlaku dengan cepat dan mungkin
lambat. Mungkin di dunia atau sudah pasti di akhirat sana.
Misalnya soal peluang. Peluang
yang diciptakan kepada kita, perlulah dimanfaat sebaiknya. Peluang untuk kita
menimba ilmu terbentang luas. Garaplah peluang itu. Belajar kemudian disampaikan
kepada yang lain. Ramai yang tidak sedar, setiap ilmu yang kita cari dan pelajari
adalah bekalan kita dibawa dihari kemudian nanti.
Rasulullah s.a.w bersabda dalah sebuah hadith,
yang diriwayat Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Nasa’i dan Ahmad:
عَنْ أبِى
هُرَيْرَة (ر) أنَّ رَسُول الله .صَ. قَالَ: إذَا مَاتَ الإنسَانُ انْقَطَعَ
عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ:
(صَدَقَةٍ
جَارِيَةٍ اَو عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ, اَووَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُولَهُ (رواه المسلم
“Apabila anak Adam meninggal, maka amalnya
terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang
bermanfaat, dan anak shaleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim)
Hadith diatas menjelaskan ilmu itu sangat menjadi
keperluan kita. Bukan itu sahaja, ilmu yang kita ada, sekiranya disampaikan
kepada yang lain pun menjadi amal jariah kita. Sebabnya ilmu yang kita
sampaikan akan dimafaatkan oleh penerima. Dan ilmu itu akan disampaikan kepada
generasi seterusnya. Itulah keberkataan ilmu. Ilmu menjadi amal jariah untuk kita.
Medan Ilmu Seluas Lautan
Ada satu
kata-kata hikmah menyatakan: “Ilmu ada tiga tahap. Jika seorang memasuki
tahap pertama, ia akan sombong. Jika ia memasuki tahap kedua ia akan tawadhu’.
Dan jika ia memasuki tahap ketiga ia akan merasa dirinya tidak ada apa-apanya”.
Jika umur
seseorang itu panjang, jika ia menghabiskan seluruh hidupnya untuk menuntut
ilmu, maka yang ia dapatkan masih sedikit kerana lautan ilmu tak terhingga
luasnya. Begitulah digambarkan “Medan Ilmu Seluas Lautan”. Di awal langkah
kita rasa berilmu, dipertengahan akan sedar dan diakhirnya akan merasa betapa
jahilnya kita.
Berbalik kepada
diri kita, sekiranya kita mempelajari ilmu yang baru, kita perlu manfaakan dan
sampaikan kepada yang tidak tahu. Ilmu yan kita ada, bukan untuk kita bermegah.
Seolah kita inilah yang pandai jika dibandingkan dengan orang lain. Jangan
begitu, itu bukan matlamat seseorang untuk menimba dan menguasai ilmu.
Rasulullah
s.a.w ada memberi peringatan berkenaan dengan sifat manusia apabila dalam keadaan menuntut ilmu. Baginda bersabda
mafhumnya:
“Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para
ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis
yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka
nerakalah tempatnya”.
[Maksud hadis
riwayat Ibn Hibban. Perawi yang dipercayai sahih, menurut Sheikh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis
no: 77]
Jadinya,
biarkan diri kita berpaut pada niat yang betul. Pupuk diri dengan sifat tawadhu’
dengan ilmu yang kita ada. Masa belajar, belajar sungguh-sungguh. Tuntutlah
ilmu kerana Allah. Sesungguhnya setiap ilmu yang kita pelajari, semuanya datang
dari Allah S.W.T.
Pena Qalam Hazim,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Comments
Post a Comment