Mencari Erti Kehidupan


“Dunia ini bukan tempat kita tinggal, tetapi tempat untuk kita meninggal.”

Pepatah di atas merupakan satu peringatan membuat hati kita terasa. Sentapan buat diri kita yang sering leka dan hanyut dengan hal dunia. Kita hidup di dunia ini bukan sekadar saja-saja, tapi bermatlamat.

Islam tidak pernah membenci dunia. Sudah fitrah manusia diciptakan Tuhan hidup dengan ada rasa cinta terhadap sesuatu yang diinginkan. Tidak salah cintakan sesuatu, tapi cinta itu perlu ada panduan. Dunia ini juga merupakan ladang untuk kita kumpul kebaikan sebelum menuju akhirat. Lihatlah kehidupan ini pada sudut pandang yang betul. Bila ada panduan yang betul, barulah kita tahu erti kehidupan sebenar.


Berbicara dan Hayatilah

Related image

Ragam kehidupan memang begitu banyak dan berbeza antara seorang insan dengan insan yang lain. Berbicaralah dan hayatilah tentangnya. Seluruhnya merupakan ujian Allah Ta'ala kepada kita akan setiap apa yang telah berlaku. Kisah hidup suka dan suka tentu sekali merupakan satu putaran yang boleh menyemarakkan keadaan agar hidup dapat dihiasi dengan corak yang begitu indah. Semua itu boleh dipandang pada kanta pisitif dan negatif, namun natijahnya semua itu pengajaran sepanjang perjalanan hidup kita.

Sebagai contoh, Prasangka...Ramai orang akan bertaut pada ranting ini. Prasangka selalu bertaut dihati insani hanya dek kerana terpandang akan kelebihan yang ada pada insan lain. Ianya terkadang mengganggu ketenteraman hati dan memberi kesan pada emosi. Kita perlu berhati-hati dan jauhi prasangka.Nabi s.a.w pernah bersabda :

“Hati-hatilah kalian dari hasad, karena sesungguhnya hasad itu memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu baka”. (Hadith Riwayat Imam Abi Dawud, Hasan Sahih)

Hapuskan prasangka yang ada. Jadilah kita insan yang sentiasa berpaut dengan sifat terpuji.


Tujuan

Image result for tujuan hidup

Beribadah kepada Allah adalah tujuan utama dalam hidup kita. Seiring dengan apa yang telah difirmankan Allah Ta'ala dalam Al-Quran iaitu

" Dan tidak aku ciptakan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada kepada ku" (Surah Azzariyat;56).

Beribadah ini merupakan satu platform kita untuk terus mendekatkan diri kepada Allah. Jangan kita lupa bahawa hidup kita ini berpaksikan Tuhan. Dalam kehidupan kita ini perlu diisi dengan perkara berfaedah dengan cara sebarkan kebaikan. Imbas kembali dimana letaknya tujuan hidup kita. Selagi ada peluang untuk hidup, lakukan muhasabah sebaiknya. Aturkan kehidupan selari dengan matlamat penciptaan. Hidup berperanan sebagai seorang hamba dan khalifah.


Sebarkan Kebaikan

 Image result for sebarkan kebaikan

Suburkan bumi ini dengan kebaikan. Pertarungan antara kebaikan dan kejahatan sentiasa akan berterusan di dunia sehingga berlakunya kiamat. Manusia boleh memilih sama ada mahu menjadi pencetus kebaikan atau pun penyebab kejahatan. Sekiranya tidak mampu mencetuskan kebaikan sekali pun, manusia tetap boleh memilih untuk menjadi agen penyebar kebaikan atau pun penghasut kejahatan.

Pilihlah...Jalan kebaikan telah dijelaskan oleh Tuhan. Begitu juga lorong-lorong kejahatan. Manusia pula diciptakan dengan akal fikiran yang mampu untuk membezakan mana satu kebaikan dan kejahatan. Maka, pilihlah.

Hidup ini ialah soal pilihan. Apa yang kita pilih, itulah yang akan kita dapat. Apabila kita membuat pilihan, perlu sanggup untuk menerima kesan dan akibat di atas setiap pilihan yang kita buat. Kesan tersebut mungkin berlaku dengan cepat dan mungkin lambat. Mungkin di dunia atau sudah pasti di akhirat sana.


Kebaikan, Usah ditangguhkan


Sedarkah kita, hidup ini singkat untuk buat jahat. Kata orang life is short, make it sweet. Ya, ada benarnya. Cuma, di mana mahu dicari kemanisan hidup ini? Bagaimana untuk menjadikannya indah? Tersilap mencari jawapan kepada persoalan ini akan menyebabkan pilihan yang dibuat juga mungkin tersilap.

Hidup ini akan berasa kemanisan dan keindahannya apabila ia dipenuhi dengan sesuatu yang manis dan juga indah. Justeru, percayalah pada setiap kebaikan adanya keindahan. Cari segenap ruang dan peluang untuk lakukan kebaikan kerana hidup ini juga terlalu singkat untuk kita lakukan kejahata

Sebarkan kebaikan dan bersegera dalam melakukannya ketika peluang terbentang dan kemampuan dimiliki. Usah tangguh dalam usahamenyebarkan kebaikan. Jika bertangguh, takut-takut masa yang dinanti sudah pun berubah. Keadaan berbeza. Peluang sudah tiada. Kemampuan lenyap belaka.

Fikirkan apa yang Rasulullah SAW ingatkan: Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Bersegeralah kamu beramal soleh sebelum datangnya tujuh perkara, tidaklah kamu menantikan melainkan kemiskinan yang akan membuat kamu lupa, atau kekayaan yang akan membuat kamu melampaui batas, atau penyakit yang membinasakan, atau masa tua yang sangat melemahkan, atau kematian yang sangat cepat, atau dajal yang ia adalah sejahat-jahat orang yang dinantikan, atau kiamat yang kiamat itu lebih memilukan dan lebih pahit." (Riwayat Tirmizi, dan dia berkata hadis ini hasan)


Mencari Erti Kehidupan

Image result for fastabiqul khairat

Renunglah sebaiknya akan tujuan kehidupan kita didunia ini. Pastikan kau temui satu kebenaran akan matlamat penciptaan kita sebagai seorang hamba dan khalifah diatas muka bumi ini. Berbicaralah dengan alam yang telah menunjukkan akan kebesaran Ilahi.  Hayatilah apa yang telah kita perolehi melalui nikmat pemerian Tuhan. Syukuri akan segala nikmat itu. Dengan ini kita akan tahu erti kehidupan sebenar.

Dalam kita menempuhi perjalanan hidup ini, jangan kita lupa untuk hulurkan jasa kepada manusia. Biar kita sibuk kerana Allah. Biar kita letih kerana agama. Biar semua kesibukandan keletihan menjadi penyebab untuk kita menikmati nikmat Syurga disana nanti. Jika kita ditanya, Apa yang kau sibuk sangat? Jawablah aku sibuk kerana aku masih hidup. Hidup untuk kumpul pahala kerana mati boleh datang bila-bila.


Pena Qalam Hazim,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.


Comments

Popular posts from this blog

Medan Ilmu Seluas Lautan

Sulung Padamu Ada Amanah

Mulianya bumi Syria…