Cari Persamaan Pada Perbezaan
Bila kita renungkan, perbezaan itu merupakan satu jurang antara kita dan insan yang lain. Terkadang terfikir dengan perbezaan itu kita tidak boleh duduk bersama. Pandangan ini perlu diketepikan. Sahabat Nabi s.a.w sendiri iatu Abu Bakr dan Umar, mereka bergerak dalam satu pasukan yang sentiasa menyokong Rasulullah. Jelas mereka saling berbeza, Abu Bakr sentiasa menampakkan kelembutan dan kasih sayang, sedang Umar pula sentiasa dengan kekerasan. Akan tetapi mereka dapat duduk bersama dalam satu pasukan untuk menguatkan pasukan agar tidak berpecah.
Jika sahabat nabi sendiri punyai perbezaan dan mampu cari titik pertemuan, begitu pun dengan kita. Dalam adik-beradik, dalam pasukan, dalam organisasi, kita semua tidak akan pernah sama. Pasti ada perbezaan, dengan perbezaan itulah kita belajar erti hidup untuk saling menguatkan duduk bersama membentuk satu 'team' yang kuat.
Mengalah Tak Bererti Lemah
Menggerakkan satu pasukan, pasti ada diantara kita masing-masing dengan pembawaan. Mungkin ada yang sikap sentiasa ingin menang seolah ingin selalu betul dan menang. Ada satu pihak lagi yang mungkin sentiasa mengalah, meskipun dia tahu dia berada pada pandangan dan pihak benar. Inilah adalah lumah.
Pembawaan yang berbeza keras mahupun lembut itu keduanya ada pro dan kontra. Cuma saya tertarik kongsikan pembawaan yang lembut yang sentiasa mengalah. Belajar untuk mengalah walaupun kita lebih benar. Mengalah tidak bermakna kita kalah tapi menyedari diri bahawa jika diteruskan, ia membawa kepada mudharat yang lebih besar.
Mengalah itu menunjukkan kita lebih matang dan bertanggungjawab. Meskipun dipandangan orang kita lemah, bukan mereka tentukan kehebetan kita. Berdoa pada Yang Maha Esa. Moga kita diberi kekuatan hadapi ranjau kehidupan.
Walaupun kita cenderung pada pembawaan yang keras, jangan nafikan pembawaan yang lembut yang sentiasa mengalah. Kedua pembawaan ini bermatlamatkan yang sama. Sebaiknya, jangan menjatuhkan, tapi sokonglah dan beri kekuatan antara satu sama lain.
Jadilah Orang Yang Berhati Lembut
Hati orang yang lembut akan mudah berlapang dada, sukakan kebaikan, sukakan perdamaian dan mudah memberikan kemafaan. Sifat lemah lembut adalah hiasan orang yang beriman. Jiwa yang lemah lembut sangat dekat dengan kasih sayang dan kebaikan.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w ada menyatakan mafhumnya: "'sesiapa yang jauh dari sifat lemah lembut, maka dia jauh dari kebaikan'. (Riwayat Muslim)
Ambil ibrah daripada hadis diatas. Apa pun yang ada pada diri kita, sifat kita, cara hidup kita, semuanya itu adalah Allah yang telah aturkan. Dalam hidup kita ini, kita masih belajar dan terus belajar. Degan peluang hidup ini, cuba kita bersama tanamkan sifat yang baik.
Jangan Sampai Orang Menjauhi Kita
Selain dari berhati lembut, satu benda yang perlu kita jaga adalah lisan kita. Dua perkara yang sangat mencabar dan ianya ujian ujian bagi kita iaitu hati dan lisan kita. Dua perkara ini perlu kita pelihara dan menjaganya adalah satu yang boleh membebankan kita. Ianya berat untuk kita.
Lisan ini merupakan satu gambaran dalaman hati kita. Sebahagian orang mengatakan bahawa apa yang mereka ucapkan itu sekadar ucapan di mulut sahaja. Bukan datangnya dari hati. Ayat selalu kita dengar ialah 'mulut jahat tapi hati baik.'
Ini adalah kejahilan yang nyata. Sebenarnya apa yang keluar dari mulut itu adalah apa yang terzahir dalam hati. Orang yang jahat suka mencarut mengeluarkan kata kesat. Ayat yang sepatutnya ialah 'mulut jahat sebab hati dah tak baik.'
Orang yang hatinya bersih, sukar sekali mengucapkan perkataan yang buruk. Mulut adalah cerminan hati. Jaga lisan, jangan mencaci.
Saling Menguatkan, Cari Persamaan Dalam Perbezaan
Sentiasalah menyokong dan dan saling menguatkan dalam apa jua keadaan selagi mana yang terdaya. Kalau bukan kita sebagai satu ummah yang saling menguatkan, siapa lagi yang akan menguatkannya?
Bergaullah dengan semua orang tetapi letakkanlah mereka sesuai dengan kedudukan masing-masing. Meskipun setiap orang mempunyai cara pembawaan, ada yang keras dan ada yang lembut, namun jangan jadikan itu alasan untuk tidak membantu dan menyokongnya. Saling menguatkan, dan jangan berpecah. Cari titik persamaan pada perbezaan itu. Bergeraklah dalam satu pasukan.
Pena Qalam Hazim,
Kolej Keris Mas UKM.
Comments
Post a Comment