Tersungkur Dipintu Syurga

Related image

Beribadah kepada Allah adalah tujuan utama dalam hidup kita. Hidup untuk beribadah ini merupakan satu platform kita untuk terus mendekatkan diri kepada Allah. Jangan kita lupa bahawa hidup kita ini berpaksikan Tuhan. Seiring dengan apa yang telah difirmankan Allah Ta'ala dalam Al-Quran:

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

" Dan tidak aku ciptakan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada kepada ku" (Surah Azzariyat: 56).

Dalam kehidupan kita ini perlu diisi dengan perkara berfaedah dengan cara sebarkan kebaikan. Imbas kembali dimana letaknya tujuan hidup kita. Selagi ada peluang untuk hidup, lakukan muhasabah sebaiknya. Aturkan kehidupan selari dengan matlamat penciptaan. Hidup berperanan sebagai seorang hamba dan khalifah.


Ibadah Terjaga Dengan Lisan

Related image

Lisan merupakan satu kurniaan Allah kepada kita. Ia merupakan alat untuk kita buktikan rasa syukur kepada Allah dengan banyakkan ingat kepada Allah dan mengungkapkan kata-kata yang baik. Ketahuilah, Setiap apa yang kita ungkapkan ini akan dicatat oleh malaikat yang mengawasi kita.

Lisan ini juga merupakan cerminan kepada diri kita. Setiap yang kita ungkapkan melalui lisan kita, ianya akan mendatangkan dua perkara sama ada mendatangkan manfaat atau pun sebaliknya kepada orang sekeliling kita.  Peliharalah lisan kita, kerana ibadah kita yang banyak tidak akan bermakna sekiranya lisan mengungkapkan kata-kata kesat.

Lisan itu boleh menyelamatkan ibadah kita. Ibadah banyak bukanlah ukuran. Kita masuk syurga dengan rahmat Allah. Namun, sebagai hamba Allah, kita perlu menyelamatkan ibadah kita dengan sesuatu yang dianggap kecil, tetapi manfaatnya besar iaitu lisan. Hal ini ada ceritakan dalam sebuah hadith, diriwayatkan oleh Abi Hurairah r.a, seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w:

قَال: يا رسول الله فُلانَةُ تُذْكَرُ مِنْ قِلَّةِ صَلاَتِها وَصِيامِها وَاِنَّها تَتَصَدَّقُ بِالأثْوَارِ مِنَ الأقِطِّ بِالْقِطَعِ مِنَ الْجُبْنِ وَلا تُؤْذِي جِيْرَانَها. قال: هِيَ فِى الْجَنَّة.""

...kemudian seorang lelaki berkata : Ya Rasulullah si Fulanah terkenal dengan sedikit sembahyang, sedikit berpuasa dan dia bersedekah beberapa potong keju dan tidak mengganggu jirannya. Rasulullah bersabda: Dia masuk syurga. (H.R Ahmad:9675, Dinilai Sahih oleh al-Albani)


Jangan Sampai Orang Menjauhi Kita

 Related image

Sebahagian orang mengatakan bahawa apa yang mereka ucapkan itu sekadar ucapan di mulut sahaja. Bukan datangnya dari hati. Ayat selalu kita dengar ialah 'mulut jahat tapi hati baik'. Ini adalah kejahilan yang nyata.

Sebenarnya apa yang keluar dari mulut itu adalah apa yang terzahir dalam hati. Orang yang jahat suka mencarut mengeluarkan kata kesat. Ayat yang sepatutnya ialah 'mulut jahat sebab hati dah tak baik. Orang yang hatinya bersih, sukar sekali mengucapkan perkataan yang buruk.

Mulut adalah cerminan hati. Jaga lisan, jangan mencaci.  Allah S.W.T melarang kita mengeluarkan kata-kata kesat melalui lisan kita. Dalam Al-Quran Allah berfirman:

وَلَا تَلْمِزُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا۟ بِٱلْأَلْقَٰبِ ۖ بِئْسَ ٱلِٱسْمُ ٱلْفُسُوقُ بَعْدَ ٱلْإِيمَٰنِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ

....dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (AL-Hujurat:11)


Mengalah Tak Bererti Lemah
 Related image

Dalam kita cuba melontarkan pandangan, sudah pasti ada orang yang tidak bersetuju dengan kita. Saat ini lah emosi kita akan terganggu angkara pandangan tidak dipersetujui. Dan pastinya saat ini juga lisan akan sukar untuk dijaga. Ia menguji keimanan kita, sekuat mana kita mampu menjaganya. Dalam satu hadith ada disebutkan, diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash, daripada Rasulullah saw baginda bersabda:

المسلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Seorang muslim adalah orang yang Kaum Muslimin selamat dari (kejahatan) lisan dan tangannya. (H.R Bukhari: 9, Muslim:57)

Didiklah diri dengan sifat yang sentiasa sabar, tenang dan ikhlas. Belajar untuk mengalah walaupun kita lebih benar. Mengalah tidak bermakna kita kalah tapi menyedari diri bahawa jika diteruskan, ia membawa kepada mudharat yang lebih besar.

Mengalah itu menunjukkan kita lebih matang dan bertanggungjawab. Meskipun dipandangan orang kita lemah, bukan mereka tentukan kehebetan kita. Asal kita sentiasa menjaga lisan kita. Berdoa pada Yang Maha Esa. Moga kita diberi kekuatan hadapi ranjau kehidupan.


Jangan Sampai Tersungkur Dipintu Syurga

 Related image


Berbicara tentang ibadah, semua akan berusaha sedaya yang mampu untuk terus memperbanyakkan ibadah. Namun dalam memperbanyakkan ibadah, ada satu yang perlu dijaga iaitu lisan kita.

Lisan kita ini boleh diibaratkan pedang. Jika tidak dijaga, ia akan menikam orang sekeliling dan menjadi penyebab kita tersungkur di pintu syurga dan dimasukkan ke neraka. Kerana apa, kerana lisan yang tidak dijaga. Dalam satu hadith ada diceritakan tentang seorang perempuan yang penuh dengan amal ibadahnya, tapi angkara menyakiti jiran dengan lisannya, dia dimasukkan ke dalam neraka.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قَالَ: قِيْلَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنَّ فُلاَنَةً تَقُوْمُ اللَّيْلَ وَ تَصُوْمُ النَّهَارَ وَ تَفْعَلُ وَ تَصَدَّقُ وَ تُؤْذِي جِيْرَانَهَا بِلِسَانِهَا ؟ فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: لاَ خَيْرَ فِيْهَا هِيَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ...

Daripada Abi Hurairah ra., bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Rasullah: Wahai Rasulullah, si Fulanah terkenal banyak melakukan solat, puasa dan sedekah tetapi sering menyakiti jirannya dengan lidah. Rasulullah bersabda: Tiada kebaikan baginya dan dia dari golongan ahli neraka........(H.R Ahmad:9675, Dinilai Sahih oleh al-Albani)

Imam Ibnu Qayyim rahimahullah ada mengatakan: “Berapa banyak kamu lihat orang yang mampu menjaga dari perbuatan keji dan kezhaliman, sementara itu lisannya mencela kehormatan orang-orang yang masih hidup dan juga orang-orang yang telah mati, tanpa peduli sedikitpun tentang apa yang ucapkan”.

       Sebagai orang yang beriman kepada Allah, didiklah diri kita dengan sifat-sifat terpuji. Sentiasalah memelihara lisan untuk ibadah kita. Jangan sampai banyak ibadah akan tetapi ia tidak bernilai angkara lisan. Hiduplah dengan sentiasa menghikmah bahasa lisan. Perelokkan lisan demi ibadah kita kepadaNya. Jangan sampai di akhirat kelak, kita Tersungkur Dipintu Syurga.


Pena Qalam Hazim,
Fakulti Pengajian Islam,
UKM.

Comments

Popular posts from this blog

Medan Ilmu Seluas Lautan

Sulung Padamu Ada Amanah

Mulianya bumi Syria…