Apa Itu Hadith Sahih?
Alhamdulillah, sedar tak sedar langkah ku terus tercipta sehingga tak terasa perjalanan diploma ku telah berjaya. Dan kini langkah ku terus tercipta dilembaran baru berada d Universiti Kebangsaan Malaysia. Sungguh, aku merindui kampus lama ku, aku merindu sang pembimbing ku yang banyak mengajar aku mengenal apa itu tuntutan menuntut ilmu, mengenal erti sebuah perjalanan hidup, dan apa yang sangat bermakna adalah seorang guru yang mengajar aku kenal akan Sunnah. Tak lain dan tak bukan, Ustaz Abdul Razak Muthalib.
Teringat sewaktu diploma,orang tersebut-sebut siapa itu Abdul Razak Muthalib? Alhamdulillah, secara perlahan saya cuba mendekati beliau dan seterusnya mengikuti perkembangan beliau. Rupanya, beliau bukan calang-calang orang. Beliau merupakan seorang yang mudah didekati dan amat saya kagumi, meskipun beliau mampu duduk bersama pendakwah-pendakwah yang terkenal, namun beliau mengambil pendekatan tidak publisiti. Subhanallah, syukur Allah telah izinkan saya menimba Ilmu daripada beliau. Semoga jariah ini terus mendapat berkat dari Yang Maha Esa. Alhamdulillah atas bimbingan, dan aku benar merindu Kuliah Hadith Arba'in yang dipimpin oleh beliau sendiri.
Berkisar tentang hadith, aku sedar aku kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah. Hadith merupakan satu subjek yang menyeronokkan.Bila berbicara hadith, aku terimbau kembali perjalanan ku mengikuti sepenuhnya kuliah Hadith Arba'in Imam Nawawi sewaktu diploma dahulu. Beliau banyak berkongsi berkaitan Hadith sehinggalah mengajar dan mendidik untuk terus berpegang serta beramal dengan Sunnah. Sebagai santapan pembaca, disini saya cuba kongsikan nukilan Ustaz Abdul Razak Muthalib agar kita dapat manfaatnya. Semoga jariah ini berterusan.Terima kasih wahai guru ku, Ustaz Abdul Razak Muthalib.
Apa Itu Hadis?
HADIS sahih. Akhir-akhir ini istilah itulah yang sering kita dengar. Jika dahulu, istilah ini mungkin hanya berlegar di sekitar penuntut ilmu agama dan kalangan ustaz sahaja. Namun, dunia ilmu semakin berkembang selari dengan perkembangan dunia.
Istilah hadis sahih sekarang sudah disebut-sebut bukan sahaja oleh agamawan tetapi juga oleh orang awam. Fenomena ini adalah satu perkembangan yang positif.
Selain melambangkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ilmu hadis, ia juga memberi mesej masyarakat mahu disajikan dengan hadis yang sahih dan dibersihkan hadis palsu yang berlegar selama ini.
Jadi, mengambil peluang kesedaran yang timbul dalam kalangan masyarakat awam, artikel ini cuba membawa secara ringkas berkenaan apakah hadis sahih. Saya akui topik ini agak teknikal dan ia melibatkan disiplin ilmu hadis yang begitu terperinci.
Saya hanya berhasrat membawa pengenalan ringkas sahaja dan cuba untuk mempersembahkannya dengan gaya bahasa yang mudah.
Definisi & syarat
Menurut Ibn Hajar Al-‘Asqalani, hadis sahih ialah hadis yang sanadnya bersambung, disampaikan oleh rawi yang adil, sempurna dhabit, dari awal hingga akhir sanad, tanpa ada sebarang syaz dan juga ‘illah.
Berdasarkan definisi ini, dirumuskan hadis sahih mesti mempunyai lima syarat; iaitu:
1. Sanad bersambung
2. Periwayat yang adil
3. Periwayat yang sempurna dhabit
4. Tidak ada sebarang syaz
5. Tidak ada sebarang ‘illah
Tiga syarat yang awal khusus berkaitan dengan sanad, manakala dua yang terakhir pula berkaitan dengan matan.
Sanad ialah rangkaian periwayat hadis (rawi) yang menyampaikan sesuatu hadis. Matan pula ialah isi kandungan atau teks hadis yang disampaikan.
Syarat pertama: Sanad bersambung
Sanad yang bersambung bermaksud semua periwayat menerima hadis tersebut secara langsung daripada gurunya. Hal ini dapat dikenal pasti melalui penggunaan lafaz yang digunakan oleh periwayat ketika mengambil dan menyampaikan sesuatu hadis.
Contohnya ialah lafaz seperti haddasani/akhbarani (telah menceritakan kepada aku/telah mengkhabarkan kepada aku) atau lafaz sami'tu (aku telah mendengar) dan lafaz lain yang menunjukkan dengan jelas periwayat mendengar dan menerima hadis tersebut secara langsung.
Manakala lafaz yang menunjukkan kemungkinan periwayat tidak mendengar dan menerima sesuatu hadis itu secara langsung ialah seperti 'an fulan (daripada si fulan), fulan qola (bahawa si fulan telah berkata) dan lafaz lain yang tidak menunjukkan dengan jelas periwayat mendengar dan mengambil sesuatu hadis secara langsung daripada gurunya.
Syarat kedua: Periwayat yang adil
Adil yang dimaksudkan di sini ialah suatu keupayaan yang dimiliki seseorang yang mendorong untuk beriltizam dengan sifat takwa dan akhlak yang baik. Oleh itu, seorang periwayat yang adil di sisi ulama hadis, mestilah memenuhi ciri-ciri dan sifat berikut:
a) Islam: Syarat ini hanya untuk periwayat yang ingin menyampaikan sesuatu hadis sahaja. Manakala periwayat yang ingin menerima sesuatu hadis, tidak disyaratkan dia seorang Islam. Maka seorang yang kafir, jika mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah SAW, kemudian menyampaikannya selepas dia telah Islam, maka riwayat beliau itu diterima, jika tidak ada sebarang perkara yang menghalang. Tetapi jika sesuatu hadis disampaikan ketika seseorang masih lagi kafir, maka riwayatnya tidak diterima.
b) Baligh: Ini juga syarat periwayat yang ingin menyampaikan sesuatu hadis sahaja, tidak untuk periwayat yang menerima hadis. Maka, jika seorang kanak-kanak yang belum baligh, menerima sesuatu hadis, kemudian menyampaikannya selepas daripada dia telah baligh, riwayatnya diterima.
c) Berakal: Berakal ialah seorang yang waras, kerana ini adalah faktor untuk seorang periwayat bercakap benar dan menyampaikan sesuatu hadis dengan tepat.
d) Sempurna daripada sifat fasik: Fasik ialah melakukan sesuatu dosa besar atau berterusan dalam melakukan dosa kecil atau melakukan sesuatu bidaah yang boleh membawa kepada kekufuran atau kefasikan. Maka, periwayat yang tidak fasik ialah seorang yang tidak melakukan dosa besar, tidak berterusan dalam melakukan dosa kecil dan bukan juga seorang yang melakukan bidaah yang membawa kepada kekufuran dan kefasikan.
e) Sempurna daripada perkara yang mencemarkan maruah: Seorang periwayat mestilah berakhlak dengan sifat dan adab yang baik. Perkara yang boleh mencemarkan maruah sama ada kesalahan kecil yang ringan atau pun melakukan sesuatu perkara harus yang bersalahan dengan adab dan budaya sesuatu masyarakat. Contohnya seperti kencing di jalanan, makan sambil berdiri, ketawa yang terbahak-bahak dan sebagainya.
Sifat adil seseorang periwayat boleh dikenal pasti dengan dua cara:
1. Seorang periwayat memang terkenal sebagai seorang yang memiliki ciri-ciri tersebut dan orang ramai juga turut mengakuinya.
2. Penilaian golongan ulama (al-jarh wa al-ta'dil) terhadap seorang periwayat bahawa dia adalah seorang yang adil.
Syarat ketiga: Periwayat yang sempurna dhabit
Dhabit bermaksud setiap hadis yang diriwayatkan mestilah betul dan tepat seperti mana yang diterima oleh periwayat tersebut. Dhabit terdapat dua jenis:
a) Dhabt Al-Sadr: Seorang periwayat menghafaz dengan baik hadis yang diterima daripada gurunya, dan dia mampu untuk menyebutnya kembali pada bila-bila masa yang dikehendaki; ketika dia mendengar hadis tersebut sehinggalah dia ingin meriwayatkannya semula kepada anak muridnya.
b) Dhabt Al-Kitab: Seorang periwayat menulis dengan tepat hadis yang diterima daripada gurunya, dan menjaganya daripada berlaku sebarang perubahan; ketika dia mendengar hadis tersebut sehinggalah ketika dia ingin meriwayatkannya berpandukan kepada catatan yang dibuat. Periwayat ini juga tidak meminjamkan catatan beliau ini kecuali kepada orang yang memang dipercayai.
Terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti seseorang periwayat sempurna dhabitnya; iaitu dengan cara membuat perbandingan berikut:
1- Perbandingan di antara beberapa riwayat yang disampaikan oleh sahabat Rasulullah SAW dengan sahabat yang lain.
2- Perbandingan beberapa riwayat daripada seorang periwayat yang sama pada zaman yang berbeza.
3- Perbandingan antara riwayat periwayat yang menjadi murid kepada seorang guru yang sama.
4- Perbandingan antara riwayat seorang ahli hadis dengan ahli hadis lain yang sama taraf dengannya semasa mengajar.
5- Perbandingan antara catatan yang terdapat dalam kitab dengan yang dihafaz, dan antara catatan kitab dengan catatan yang lain.
6- Perbandingan antara riwayat seseorang periwayat dengan nas-nas al-Quran.
Syarat keempat: Tidak ada syaz
Hadis yang diriwayatkan mestilah bukan hadis yang syaz. Syaz bermaksud sesuatu hadis yang diriwayatkan oleh seorang periwayat yang thiqah bercanggah dengan periwayat yang lebih lagi thiqah daripadanya atau dengan sekelompok periwayat yang thiqah.
Syarat kelima: Tidak ada sebarang ‘illah
‘Illah ialah sesuatu sebab tersembunyi yang mencacatkan kesahihan sesuatu hadis, sedangkan pada zahirnya hadis tersebut kelihatan sempurna.
Contohnya, suatu sanad hadis kelihatan seperti bersambung (muttasil). Tetapi, pada hakikatnya ia terputus kerana terdapat seorang periwayat yang tidak disebutkan namanya.
Kecacatan ini hanya mampu dikenal pasti oleh ulama hadis yang pakar. Sekadar ini dahulu pengenalan ringkas kepada hadis sahih. Perincian dan perbahasan mengenainya masih lagi panjang dan perlu dilihat daripada pelbagai aspek lain lagi.
Namun, apa yang diharapkan, pengenalan ringkas ini mampu memberikan gambaran kepada pembaca apakah itu hadis sahih.
Nukilan ini adalah nukilan Ustaz Abdul Razak Muthalib.Beliau ialah seorang Perunding Latihan & Motivasi di Akademi Magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Saya amat cenderung pada nukilan beliau. Alhamdulillah sehingga kini saya sering mengikuti perkembangan beliau. Dan tidak dinafikan,aku merindui kuliah beliau. Terima kasih wahai guruku.
Buat tatapan pembaca, hadam lah dengan baik perkongsian ini. Semoga kita mendapat manfaatnya.
Sahabatku, jika ada yang bertanya, 'Apa yang kau sibuk sangat?. Maka jawablah:"Aku sibuk kerana aku masih hidup. Hidup untuk kumpul pahala kerana mati boleh datang bila-bila".
Qalam Hazim
FPI UKM
11.10.2015
Comments
Post a Comment