Usaha, Walau Pedih Berjalan


Apa pun, cerita yang berlalu kekal menjadi kenangan. Ia mungkin boleh berulang atau hanya tersimpan dalam lipatan sejarah. Saat terkenang kembali detik gembira dan bahagia, kita mengharapkan alangkah indahnya jika detik itu dapat diulang semula. Ketika terhimbau saat sedih dan kecewa, perasaan menjadi hiba dan mahu melenyapkannya dalam memori kita.

Namun, usah sampai tenggelam dalam nostalgia lama sehingga terlupa masa hadapan yang sedang menunggu kita. Masa hadapan yang masih kosong. Tiada lagi warna yang dicorakkan. Tiada lagi babak yang dilakonkan. Terserah kepada kita warna apa yang mahu kita pilih. Babak apa yang mahu kita masukkan. Kenangan masa lampau tidak perlu dihapuskan, tetapi jadikan ia pengajaran untuk kita melakar perjalanan di masa hadapan..

Justeru, mari kita ambil semangat permulaan tahun hijrah  ini untuk berfikir sejenak mengenai masa hadapan. Berfikir merancang penambahbaikan. Berfikir untuk lakukan perubahan.


Ibrah Disebalik Hijrah
 

Tiap-tiap tahun hijrah silih berganti, membawa satu slogan yang sama, tapi mesej dan jalan cerita yang berbeza. Ayuh bersama kita telusuri ibrah disebalik hijrah.

Mengapa Rasulullah SAW dan sahabat diperintahkan oleh ALLAH untuk berhijrah ke Madinah?
Antara hikmah yang dapat kita lihat ialah supaya mereka mendapat suasana yang lebih baik daripada apa yang dialami semasa di Makkah. Umat Islam di Makkah ketika itu terpaksa berhadapan dengan pelbagai ujian dan seksaan disebabkan kalimah tauhid yang mereka pegang. Dihina, diseksa, dipukul, disekat, diboikot bahkan dibunuh.

Selepas berhijrah ke Madinah, keadaannya berbeza. Kehidupan umat Islam berubah. Perubahan yang lebih baik. Amalan Islam dapat diamalkan dengan bebas. Dakwah Islam semakin berkembang. Kehidupan masyarakat menjadi harmoni. Bahkan, sebuah negara Islam dapat dibangunkan.


Usahalah, Walau Pedih Berjalan 


Untuk berubah perlukan kekuatan. Selain kekuatan dalaman dari diri sendiri, ia perlukan kekuatan luaran. Jadi, perlu pilih persekitaran yang boleh membantu perubahan kita. Sentiasa bergaul dan beraktiviti bersama rakan yang positif. Selalu hadir ke program yang dapat mendekatkan diri kepada Pencipta, meningkatkan nilai diri dan membina kematangan minda.

Apabila kita berada dalam persekitaran yang baik, kita mendapat kekuatan untuk terus kekal berubah menjadi baik. Jika kita terlalai, ada rakan-rakan yang mengingatkan. Andai kita tersalah, rakan-rakan yang positif ini tidak terus menyanggah. Tetapi, harapan baru diberikan. Sokongan dan keyakinan ditiupkan agar kita kembali ke jalan perubahan.

Semoga dengan semangat dan keazaman diri yang tinggi memberikan hasil yang bernilai untuk diri kita Berusahalah, walau pedih berjalan kerana meraikan sebuah kemanisan hidup itu penuh dengan ranjau. Usah gentar, carilah kekuatan dan teruskan langkah kehadapan.

Oleh itu, siapa kita, apa kesalahan, bagaimana sikap kita sebelum ini bukan menjadi penghalang untuk kita berubah. Asalkan kita mendapatkan nasihat daripada orang berilmu yang memberikan bimbingan berdasarkan ilmu yang sahih. Bukan bersandarkan emosi dan sentimen yang merosakkan. Ingat,  biar segelap mana pun masa lampau kita, namun percayalah masa depan kita masih lagi cerah.

Jadi, lakukan hijrah... berubah kerana ALLAH!.


Pena Qalam Hazim,
Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

Medan Ilmu Seluas Lautan

Sulung Padamu Ada Amanah

Mulianya bumi Syria…