Kuasai Matlamat Diri



Kehidupan sebagai seorang mahasiswa penuh dengan corak warna-warni, penuh dengan kegembiraan mahupun kesedihan. Namun, perlu di ingat matlamat kita sebagai seorang mahasiswa. Koreksi diri,jadilah insan yang berguna menjadi pemimpin suatu hari ini.

 
Rahsia mencapai matlamat hidup adalah tempuhi onak cabaran. Saya tertarik satu perkongsian yang berkisar motivasi untuk kuasai matlamat diri dalam sebuah buku bertajuk “Diari Musafir Jangan Berhenti Berlari” nukilan Dr Zaharuddin Abdul Rahman, dalam buku ini beliau sendiri berkongsi pengalaman cerita hidup onak duri yang telah ditempuhi. Perkongsian beliau jelas menyatakan onak cabaran adalah rahsia untuk mencapai kejayaan.




Jangan Berhenti Berlari

 

Alhamdulillah, saya telah menghabiskan dengan menghadam dengan baik sebuah buku karya Ustaz Dr Zaharauddin Abdul Rahman yang saya boleh anggap salah seorang guru saya iaitu "Jangan Berhenti Berlari".Buku ini banyak menceritakan tentang bagaimana beliau sendiri mendepani arus cabaran dalam menuntut ilmu sehinggalah beliau berjaya dan menjadi seorang tokoh ilmuan yang disegani di Malaysia. Karya beliau ini sangat memberi makna untuk diri saya bahkan kepada semua pembaca. Pembakar semangat untuk meneruskan langkah menuju cita-cita impian. Baik, saya cuba bawah satu cerita dalam buku beliau yang saya anggap merupan asbab pembakar semangat untuk membuktikan diri kita boleh meskipun orang memandang rendah akan kemampuan kita. 

‘Zaharuddin, engkau hanya seorang pelajar datang dari asia tenggarabukannya berbangsa Arab,dan pastinya engkau tidak mampu menandingi saya dan rakan arab yang lain’.

Ini merupakan dialog yang saya petik dari buku beliau.Seandainya kita berada pada situasi tersebut, apa keputusan yang kita akan lakukan? Saya akui ianya satu cabaran kerana bait kata yang dikeluarkan oleh pemuda Arab itu sangat merendahkan kemampuan kita. Namun, Allah lebih Tahu dan saying kepada hambaNya, Dr Zaharuddin mendapat keputusan cemerlang mengalahkan pemuda tersebut. Benarlah apa yang telah difirmankan Allah Ta’ala didalamAl Quran:

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. [Terjemahan Surah Al-Imran, 3:159]

Sungguh, melalui ungkapan sindiran itu beliau sendiri dapat lahirkan kekuatan. Bayangkan, andai diri kita berada pada situasi itu, apakah langkah yang mungkin kita lakukan? Mengalah, putusasa, berhenti melangkah mungkin keputusanyang bermain di minda kita dek keranasemangat yang perlekeh orang sekeliling. Inilah ujian dalam mengharungi matlamat hidup. Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
    “Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim)

Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik.  Perlu kita tahu, ujianlah yang telah membawa Nabi Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (“Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).

Dari Malaysia merentasi beberapa negara semata mencari ilmu, tiba disana disambut dengan pelbagai cabaran dan ujian yang kehadirannya tidak pernah diundang, namun berkat semangat balik dari Negara Jordan dengan membawa segunung kejayaan. Indahnya perjalanan seorang insan bernama Zaharuddin Abdul Rahman (kini Pensyarah UIAM) penuntut ilmu yang kini namanya gah menjadi sebutan di Malaysia. Benarlah pepatah inggeris “Experience is the best teacher”.Kita mahasiswa universiti tanamkan semanagat, fokus pada matlamat dan teruslah melangkah kehadapan. Coretan perkongsian ilmu yang penuh dengan cabaran ini jadikan sebagai motivasi diri.


Koreksi Diri, capai Matlamat



Dalam kesibukan ini, ambil sedikit masa untuk terus koreksi diri dan fokus pada matlamat yang ingin diimpikan. Ada orang yang kesibukannya bukan setakat fikir mengenai diri sendiri, bahkan memikirkan juga hal orang lain seolah diri sendiri itulah yang terbaik. Imbas kembali dimana letaknya matlamat kita. Selagi ada peluang untuk hidup, lakukan muhasabah sebaiknya. Kuasai Matlamat Diri dari perkongsian yang menarik, jadikan ianya motivasi untuk diri maju kehadapan.
Selamat Berjuang Sahabatku.

Singgahan Ilmu Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nukilan Qalam Hazim.

Comments

Popular posts from this blog

Medan Ilmu Seluas Lautan

Sulung Padamu Ada Amanah

Mulianya bumi Syria…