Hijrah Kehidupan
Saban Tahun, kita akan mendengar
perkataan Hijrah menandakan bertambahnya tahun hijrah. Umpama semalam kita
berada ditahun 1437 Hijrah, dan hari ini kita sudah memasuki tahun hijrah yang
baru 1438H. Tahun hijrah berubah, bagaimana dengan kita? Ayuh bersama lakukan
hijrah kehidupan.
Di sepanjang tahun 1437H, perjalanan hidup
kita penuh dengan corak warna warni yang mengajar kita untuk kenal erti
kehidupan. Apa pun, cerita yang berlalu kekal menjadi kenangan. Ia mungkin
boleh berulang atau hanya tersimpan dalam lipatan sejarah. Saat terkenang
kembali detik gembira dan bahagia, kita mengharapkan alangkah indahnya jika
detik itu dapat diulang semula. Ketika terhimbau saat sedih dan kecewa,
perasaan menjadi hiba dan mahu melenyapkannya dalam memori kita.
Namun, jangan sampai tenggelam
dalam nostalgia lama sehingga terlupa masa hadapan yang sedang menunggu kita.
Masa hadapan yang masih kosong. Tiada lagi warna yang dicorakkan. Tiada lagi
babak yang dilakonkan. Terserah kepada kita warna apa yang mahu kita pilih.
Babak apa yang mahu kita masukkan. Kenangan masa lampau tidak perlu dihapuskan,
tetapi jadikan ia pengajaran untuk kita melakar perjalanan di masa hadapan.
Justeru, mari kita ambil semangat
permulaan tahun hijrah yang baharu ini untuk berfikir sejenak mengenai masa
hadapan. Berfikir merancang penambahbaikan. Berfikir untuk lakukan perubahan.
Hijrah Kehidupan.
Ibrah Disebalik Hijrah
MUHARAM 1438 Hijrah menjelma.
Berakhirlah 1437 hijrah dengan pelbagai kisah dan cerita. Ada kisah suka,
gembira, ceria dan bahagia. Ada juga babak hiba, sedih, duka dan kecewa.
Begitulah kehidupan. Dipenuhi dengan pelbagai babak dan watak. Pelbagai lukisan
dan warnanya.
Tiap-tiap tahun hijrah silih
berganti, membawa satu slogan yang sama, tapi mesej dan jalan cerita yang
berbeza. Tapi, bagaimana pula dengan hijrah hidup kita? Ayuh bersama kita telusuri ibrah disebalik hijrah.
Mengapa Rasulullah SAW dan sahabat
diperintahkan oleh ALLAH untuk berhijrah ke Madinah?
Antara hikmah yang dapat kita lihat
ialah supaya mereka mendapat suasana yang lebih baik daripada apa yang dialami
semasa di Makkah. Umat Islam di Makkah ketika itu terpaksa berhadapan dengan
pelbagai ujian dan seksaan disebabkan kalimah tauhid yang mereka pegang.
Dihina, diseksa, dipukul, disekat, diboikot bahkan dibunuh.
Selepas berhijrah ke Madinah,
keadaannya berbeza. Kehidupan umat Islam berubah. Perubahan yang lebih baik.
Amalan Islam dapat diamalkan dengan bebas. Dakwah Islam semakin berkembang. Kehidupan
masyarakat menjadi harmoni. Bahkan, sebuah negara Islam dapat dibangunkan.
Cermin Diri dan Lakukan Hijrah
Cermin diri adalah satu ungkapan
untuk kita nilai semula akan diri kita. Ragam kehidupan memang begitu banyak
dan berbeza antara seorang insan dengan insan yang lain. Berbicaralah dan
hayatilah tentangnya. Seluruhnya merupakan ujian Allah Ta'ala kepada kita akan
setiap apa yang telah berlaku.
Sebagai contoh, Prasangka...Ramai
orang akan bertaut pada ranting ini. Prasangka selalu bertaut dihati insani
hanya dek kerana terpandang akan kelebihan yang ada pada insan lain. Ianya
terkadang mengganggu ketenteraman hati dan memberi kesan pada emosi. Kita perlu
berhati-hati dan jauhi prasangka.
Dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w
pernah bersabda :
Hati-hatilah kalian dari hasad,
karena sesungguhnya hasad itu memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu
baka. (Hadith Riwayat Imam Abi Dawud, Hasan Sahih)
Lakukan hijrah kehidupan. Bersama sebarkan
kebaikan dan bersegera dalam melakukannya ketika peluang terbentang dan
kemampuan dimiliki. Usah tangguh dalam usahamenyebarkan kebaikan. Jika
bertangguh, takut-takut masa yang dinanti sudah pun berubah. Keadaan berbeza.
Peluang sudah tiada. Kemampuan lenyap belaka.
Fikirkan apa yang Rasulullah SAW
ingatkan: Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Bersegeralah
kamu beramal soleh sebelum datangnya tujuh perkara, tidaklah kamu menantikan
melainkan kemiskinan yang akan membuat kamu lupa, atau kekayaan yang akan
membuat kamu melampaui batas, atau penyakit yang membinasakan, atau masa tua
yang sangat melemahkan, atau kematian yang sangat cepat, atau dajal yang ia
adalah sejahat-jahat orang yang dinantikan, atau kiamat yang kiamat itu lebih
memilukan dan lebih pahit." (Riwayat Tirmizi, dan dia berkata hadis ini
hasan)
Insan, ayuh bersama kita hapuskan
prasangka yang ada. Jadilah kita insan yang sentiasa berpaut dengan sifat
terpuji. Ayuh bersama lakukan Hijrah Kehidupan.
Salam Maal Hijrah 1438H.
Pena Qalam Hazim,
Kolej Keris Mas UKM.
Comments
Post a Comment