Jangan Jika Belum Sampai Waktunya
Jangan Jika Belum Sampai Waktunya
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Cuba
mendapatkan sesuatu sebelum sampai waktunya kerap kali hanya akan
membawa kerugian. Logikanya mudah sahaja, cuba nenikmati buah-buahan
yang belum masak hanya akan terhalang dari sebarang kenikmatan malah
membawa kepada pembaziran sahaja. Logika ini bukan sahaja diterima aqal
biasa, malah juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang disepakati
yang berbunyi :
مَنْ اسْتَعْجَلَ شَيْئاً قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ
Ertinya
: Barangsiapa yang tergesa-gesa dalam sesuatu sebelum sampai tempohnya,
nescaya akibatnya adalah terhalang terus dari mendapatkannya (Al-Ashbah
Wa An-Nazair, As-Sayuti, hlm 195)
Para
ulama Fiqh pada kebiasaannya akan memberikan contoh seorang waris atau
anak yang tidak sabar untuk mewarisi harta bapanya, lalu bertindak
membunuh bapanya. Apabila itu berlaku dan disabitkan oleh hakim, si anak
tadi secara automatis terkeluar dari senarai penerima pusaka bapa. Ia
berdasarkan sabda Nabi :
الْقَاتِلُ لا يَرِثُ
Ertinya : Yang membunuh itu tidak boleh mewarisi (Riwayat At-Tirmizi, sohih menurut albani)
Hasilnya,
hampir semua mazhab bersepakat, malah dikatakan telah ijma’ di kalangan
ulama, bahawa pembunuh tidak akan mewarisi harta mangsa yang dibunuh,
khususnya bagi pembunuhan yang diniat dan disengajakan. Demikian ijtihad
Imam As-Syafie, Abu Hanifah, Malik dan lain-lain. ( Al-Hawi al-Kabir,
Al-Mawardi, 13/70). Manakala ada sedikit perbezaan pandangan dalam kes
pembunuhan yang tidak disengajakan.
Apapun, itulah akibat ketidaksabaran, akhirnya tersekat terus dari harta pewarisan yang digilai.
Lebih
jauh dari itu, kaedah ini sebenarnya bukan hanya terpakai dalam kes
contoh di atas, malah dalam pelbagai aspek kehidupan pembangunan
manusiawi dan pembinaan hukum Islam.
DALAM SISTEM PENDIDIKAN
Mendesak
pelajar di usia tadika dan rendah untuk bergelumang dengan ‘stress’
belajar berlebihan, kerja sekolah yang menggunung serta terlalu keras
dalam penekanan pada peperiksaan hanya akan menghalang sebahagian
pelajar pada usia ‘bermain’ itu mengembangkan aqalnya dengan sempurna.
Kesan negatif ini sering menimpa kanak-kanak lelaki yang mana cara
belajar mereka lebih perlu bersifat santai dan tidak fokus berbanding
kanak-kanak perempuan. Mungkin itulah salah satu faktor mengapa ramai
lelaki gagal ke universiti.
Selain
itu, muncul pelajar yang ‘bencikan sekolah dan pelajaran akibat terlalu
tertekan dengan peperiksaan di peringkat pra-sekolah dan sekolah
rendah. Jika berjaya pun, lahir pelajar yang ‘kaki’ menghafal tanpa
faham, tidak kreatif serta kurang dinamik di medan universiti dan tidak
efisyen di dalam dunia kerjaya. Hasilnya, berterusan Malaysia menghadapi
masalah kekurangan tenaga mahir, kreatif, inovatif dalam pelbagai
bidang, sama ada agama, sains dan teknologi, ekonomi dan sebagainya.
Tentunya
saya tidak menafikan ramai juga telah berjaya melalui sistem ini, namun
saya kira jika ia diubah, statistic kejayaan itu mungkin akan lebih
membesar.
DALAM SISTEM UNDANG-UNDANG JENAYAH
Dalam
bab undang-undang Islam, tergesa-gesa melaksanakan hukuman atau
menganggap seseorang itu bersalah sebelum sampai waktu hakim memberikan
kehakiman secara adil adalah satu kesalahan, malah dalam sesetengah tuduhan melayakkan kepada mereka yang tidak sabar-sabar menuduh itu hukuman berat dari sudut spiritual ( di waktu ketiadaan hukuman sebgeitu diperuntukan) pula seperti qazaf bagi yang menuduh zina dan liwat.
Malah ramai juga yang tidak sabar-sabar menyabitkan kesalahan ke atas seseorang sehingga ia menjadi fitnah serta penyebaran pembohongan.
Akibatnya masyarakat gopoh ini akan sentiasa hidup dalam ‘stress’,
sangka buruk dan kurang harmoni. Masakan tidak, apabila telah dengan
sendirinya menyabitkan kesalahan ke atas seseorang sebelum proses
pengadilan tamat, individu yang bebas itu, sudah mula dirasakan beban
dalam komuniti setempatnya yang jahil itu.
Contoh
lain adalah kewajiban qadhi atau hakim untuk menahan diri dari
memberikan sebarang keputusan tergesa-gesa sebelum sampai waktu yang
sesuai, iaitu sehinggalah dia mendengar hujah dari kedua-dua pihak. Nabi
s.a.w mengingatkan :-
إذا تقاضى إليك رجلان فلا تقض للأول حتى تسمع كلام الآخر فسوف تدري كيف تقضي
Ertinya
: Apabila kamu ingin menjatuhkan hukuman ke atas dua orang lelaki (
yang diadili kes mereka) , janganlah kamu membuat hukuman kepada yang
pertama (selepas mendengar katanya), sehinggalah kamu mendengar
penjelasan pihak yang satu lagi, ketika itu, barulah kamu akan tahu
bagaimana untuk menetapkan hukuman ( Riwayat At-Tirmizi; Hadis bertaraf
Hasan)
Displin
ini sebenarnya bukan sahaja mesti dipakai oleh hakim dan qadhi di
mahkamah biasa, malah mesti diaplkasikan oleh individu masyarakat
apabila sahaja mendengar suatu khabaran dan tuduhan buruk ke atas
rakan-rakan Mukmin dan Muslim, ada yang segera mempercayai khabaran
berita sebelum mendapatkan penjelasan dari yang dituduh akan menjatuhkan
seseorang dalam dosa fitnah.
BAB URUSAN KEWANGAN
Beberapa
minggu lepas saya bertemu salah seorang CEO di sebuah bank Islam
tanahair, beliau meluahkan rasa hatinya dan dilemmanya ketika
menjalankan tugasan yang diamanahkan.
Dilemma
pertembungan di antara pemilihan fatwa yang tegas, ‘strict’ dalam
pembinaan produk kewangan halal dan memenuhi tuntutan pelanggan yang
kerap kali menginginkan sesuatu yang adakalanya tidak begitu sihat untuk
diri mereka sendiri, seperti kemudahan kad kredit yang secara jelas
menggalakan berhutang lebih dari kemampuan bulanan.
CEO
tersebut berkata “kita memang boleh berpegang kepada pandangan fiqh
yang lebih tegas, tapi hasilnya di dalam suasana masyarakat Malaysia
yang belum cukup ilmu, kelak nanti bisnes kewangan halal ini akan terus
terpaksa ditutup, atas dasar itu, pandangan fiqh yang sedikit longgar
adakalanya mungkin perlu dipertimbangkan oleh para ulama, ia adalah
untuk kemasalahatan masa hadapan perbankan halal ini juga”
Pandangan
itu memang boleh diterima agar perbankan halal boleh terus berkembang
dan harapannya selepas itu, mampu mengubah sikap negatif masyarakat
dalam hal pengurusan kewangan peribadi juga.
Sikap majoriti masyarakat yang suka
meminjam, berhutang dan kerap terlupa, lalai dan liat membayar semula
hutang adalah satu fenomena biasa yang sangat tidak sihat. Namun
untuk terus memotong semua produk pembiyaan halal yang berdasarkan
hutang (debt based financing) secara serta merta adalah tindakan kurang
tepat yang belum sampai waktu sesuainya. Selari dengan kaedah Fiqhiyyah
di atas, kerana tindakan terbabit hanya akan meranapkan semua institusi
kewangan halal (Islam) dari terus bersaing dan berkembang dalam pasaran
semasa.
Apa
yang patut dilakukan adalah mengetatkan lagi kreteria pemohonan
pembiayaan agar latar belakang mereka adalah benar-benar dari kalangan
individu yang mampu melunaskan hutang mereka. Itu amat penting agar
tidak ‘melayan’ nafsu berbelanja mereka yang sukar dikekang minda yang
waras.
Begitu
juga, mengharapkan perbankan halal (Islam) di Malaysia melaksanakan
ijtihad fiqh yang tegas dalam semua produknya tanpa berjaya menyemai
kefahaman kepada rakyat berkenaan kepentingan hukum, hanya akan
mengakibatkan seluruh industri perbankan Islam akan rugi dan akhirnya
ditutup. Sekali lagi kaedah tersebut boleh diaplikasinya dalam hal ini.
DALAM BAB PELABURAN
Saya
kerap bertemu dengan pelabur muslim yang inginkan jaminan keuntungan
dan selamat modal tetapi inginkan kontrak pelaburan dimeterai menurut
hukum Islam.
Sedarilah,
bahawa permintaan itu adalah tidak mampu ditepati oleh kontrak
pelaburan Islam yang hakiki. Jika didesak jua, maka seolah cuba mencari
jalan untuk menghalalkan yang haram.
Selain
itu, ramai yang menuntut sesuatu yang bercanggah dengan sifat bisnes
dan hukum aqal, apabila meminta perbankan Islam menyediakan produk
pelaburan yang bersifat ‘low risk with high return’.
‘Sunnatullah’
atau hukum normal fizik alam ini menyebutkan bahawa sifat normal dalam
sesebuah pelaburan adalah ‘high risk, high potential return’ dan ‘low
risk, low return’ tetapi kini ramai yang tergesa-gesa ingin kaya tapi
tidak mahu menanggung risiko. Mahu bercanggah dengan hukum tabiat biasa
pelaburan.
Hasilnya,
mereka mereka terjebak dalam skim cepat kaya yang kononnya mampu
menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko rendah. Akhirnya semua ditipu,
hilanglah semua wang mereka, lalu membenarkan kaedah tadi. Iaitu,
apabila keuntungan ingin dicapai sebelum waktunya dan tanpa mengikut
normanya, akibatnya semua akan terhalang, iaitu hanya tertipu dan
kerugian sahaja.
DALAM BAB PERKAHWINAN
Ramai
juga yang berkahwin sebelum memahami tanggungjawab berat selaku suami
isteri serta yang lebih penting adalah memamhami bagaimana tuntutan dan
amanah agama ke atas ikatan suci itu.
Akibat tergesa-gesa mengikut runtunan emosi dan rasa, mereka disatukan tanpa ilmu yang matang.
Kursus kahwin pun hanya mengandungi ‘lucu-lucu lucah’ kata sebahagian mereka mengkritik persembahan penceramah jemputan.
Akhirnya,
perkahwinan tergesa-gesa sebelum penyediaan tapak yang kukuh hanya akan
mengakibatkan tersekatnya kenikmatan dan keharmonian rumahtangga dalam
tempoh yang singkat. Justeru, penceraian demi penceraian menghiasi
tuntutan di mahkamah serta dada akhbar.
DALAM BAB PERATURAN PENTADBIRAN & SIYASAH ISLAM
Dalam
hal pentadbiran, regulasi dan proses penyediaan tapak perlu dibuat
secara tersusun bagi memastikan setiap pembaharuan positif dalam bab
pentadbdiran dan politik mampu dihadam oleh masyarakat dengan baik.
Khalifah
Umar bin Abd Aziz ketika didesak oleh anaknya untuk mengubah sertamerta
unsur-unsur buruk dalam pemerintahan sebelum bapa naik selaku khalifah,
segera menasihati anaknya dengan kata beliau :
لا
تعجل يا بني، فإن الله تعالى ذم الخمر في القرآن مرتين وحرّمها في
الثالثة، وأنا أخاف أن أحمل الناس على الحق جملة فيدفعوه وتكون فتنة
Ertinya
: Janganlah tergesa-gesa wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak
di dalam Al-Quran itu dua kali dan hanya mengharamkannya pada kali yang
ketiga, dan aku bimbang jika aku bawakan kebenaran itu kepada manusia
secara sekaligus, lalu mereka tidak dapat menerimanya dan menolaknya
secara sekaligus juga, hingga terjadilah fitnah ( al-Muwafaqat,
As-Syatibi, 2/148)
Itulah
suatu hikmah, mengelakan ketergesaan dan memahami sejauh mana kesediaan
minda dan ilmu masyarakat. Namun ini jangan sekali dijadikan alasan
untuk terus tidak melaksanakan sesuatu yang baik, apa yang perlu adalah
segera merangka ‘blue print’ dan proses ke hadapan dengan jelas dan
bukan hanya dengan memberi alasan ‘tidak sedia’ masyarakat.
DALAM BAB FATWA DAN PEMBERIAN HUKUM
Ini
satu lagi kes yang lebih berat, ramai yang ilmu Usul Fiqhnya tiada,
kontang ilmu kefahaman dalam bahasa arab, apatah lagi Usul Tafsir dan
Hadith, tetapi berlagak seperti alim besar memberi fatwa hukum halal dan
haram dalam urusan kewangan, jenayah atau ibadah dan sebagainya. Lebih merbahaya sehingga ada yang cuba menafikan kewibawaan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Kesatuan Ulama Fiqh Antarabangsa.
Ini
sangat tepat dengan kaedah yang menjadi fokus kita juga, iaitu apabila
orang yang bukan ahli cuba mencampuri urusan yang dia tidak berkelayakan
padanya, akibat dari itu, dia akan tersekat dari kebenaran serta jatuh
dalam kesesatan. Lebih teruk, apabila dia merasakan pandangannya paling
terpat berbanding semua ulama besar di dunia.
KESIMPULAN
Dari
penulisan di atas, diharapkan kita semua lebih cermat dan bijaksana
dalam menilai sama ada ‘masa’ yang sesuai telah tiba untuk berbuat
sesuatu tindakan. Jika belum tiba waktu sesuai itu berusahalah
mewujudkannya agar tindakan yang dilakukan dipasak oleh asas yang kukuh
dan kuat.
Sabda Nabi s.a.w
التَّأَنِّي مِنَ اللَّهِ وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
ERTINYA
: Ketelitian itu datang dari Allah, dan tergesa-gesa itu adalah dari
Syaitan (Riwayat At-Tirmizi, Al-Baihaqi, At-Tabrani, Abu Yu’la dengan
pelbagai sanad, ada yang lemah dan hasan serta sohih. Albani
menyimpulkannya sebagai sohih)
Pun
begitu, nabi juga ada memberikan pengecualian, perkara yang perlu
disegerakan tetapi bukan tergesa-gesa yang berasaskan kelalaian, iaitu
:-
ثَلَاثٌ لَا تُؤَخِّرْهَا : الصَّلَاةُ إِذَا أَتَتْ ، وَالْجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ ، وَالْأَيِّمُ إِذَا وَجَدْتَ لَهَا كُفْئًا
Ertinya
: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila
telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan
kafan) dan anak gadis setelah ditemuinya yang sesuai untuknya. (Riwayat
At-Tirmizi )
Comments
Post a Comment