Kembara Bersama Ramadhan

 

Ramadhan, bulan tarbiyah kita,
bulan untuk kita mendidik segalanya,
Bulan untuk mendidik ibadah kita,
Bulan untuk mendidik akhlak kita,
Bulan untuk mendidik lisan kita,

Jika sebelum ini kita sering leka dan alpa,
Jika sebelum ini kita tenggelam dengan hasutan dunia,
Jika sebelum ini kita bertuankan nafsu semata,
Maka Ramadhan inilah peluang kita yang ada,


Selangkah demi selangkah kita berada di dalam bulan Ramadhan, kini kita sudah berada dipertengahan Ramadhan. Allah Ya Allah, sungguh pantas waktu berjalan seumpama baru semalam menerima kehadiran tetamu mulia ini. Tetamu yang banyak mengajar, membimbing agar terus mendekatkan diri kepada-Mu, dan perjalanan Ramadhan pasti akan bergerak sehingga tiba penamatnya. 

Jadikan kembara kita bersama ramadhan yang berbaki ini satu langkah untuk kita dekatkan diri pada Allah.Usah kata aku sudah terlambat, bergeraklah sekarang kerana Allah masih bentangkan peluang serta kelebihan pada waktu Ramadhan yang berbaki ini untuk kita semua. 


Mustajabnya Doa

Kembara bersama ramadhan pasti ada rahsia dan kelebihan tersendiri. Saya cuba coretkan untuk membuka serba sedikit tentangnya agar kita dapat mengambil ibrah disebalik kembara ramadhan ini.

Apabila kita merujuk semula ayat al-Quran dalam surah Al-baqarah iaitu ayat 183, 184, 185 dan 187, kesemua ini ayat menceritakan tentang ibadah puasa yang Allah telah perintahkan buat seluruh umat islam. Namun, bila kita perhatikan ayat 186 dalam surah al-baqarah ini, terselit satu ayat yang perlu kita ambil perhatian Allah menyebut tentang perihal doa.

Firman Allah ta’ala mafhumnya:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran". (al-Baqarah 186).

Mengapa ayat ini diselitkan ketika Allah menyatakan perintah puasa,sudah pasti ada nilainya, ada makna yang patut kita perhatikan,kita fahami dan kita hayati dalam kita menjalankan ibadah puasa ini. Maka jangan lupa untuk kita isikan bulan puasa ini dengan banyakkan berdoa pada Allah S.W.T.

Kehidupan tidak akan pernah sunyi dari sebarang ujian, dugaan dan sebagainya.Maka insan yang ditimpa ujian ini tidak mampu menghadapinya tanpa kita meminta bantuan Allah ta’ala. Dalam Sebuah hadith ada menyebutkan tentang tiga golongan yang mana doanya tidak akan ditolak.

Dari Anas bin Malik r.a , dia berkata bahawasanya Rasulullah telah bersabda.

“Tiga doa yang tidak ditolak:  doa orang tua terhadap anaknya, doa orang yang sedang berpuasa dan doa seorang musafir”. [Sunan Baihaqi Dishahihkan oelh Al-Albani dalam Silsilah Shahihah No. 1797].

Kita sebagai hamba Allah, rebutlah peluang yang Allah telah bentangkan kepada kita disaat hadirnya Ramadhan bersama kita. Jangan sekali kita memandang rendah akan kelebihan berdoa, jangan sekali kita abaikan kerana doa ini penghubung kita dengan Allah. Ayuh bersama manfaatkan peluang dengan banyakkan berdoa kepada Allah.


Memburu Pintu al-Rayyan

 

Keutamaan bulan Ramadan banyak sekali Dalam sebuah hadis, Rasulullah menerangkan keutamaan puasa dan kedudukan orang-orang yang berpuasa di sisi Allah. Atas keikhlasan dan kesabaran dalam menjalankan puasa, menahan lapar, dahaga, dan mengawal hawa nafsu, Allah memberi keistimewaan kepada mereka dengan memasukkan mereka ke dalam syurga melalui pintu khusus yang bernama ‘Ar-Rayyan’.

Rasulullah bersabda,

"Sesungguhnya di syurga ada pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa di hari kiamat masuk dari pintu itu. Tidak dibolehkan seorang pun memasukinya selain meraka. Lalu dikatakan, ‘Dimana orang-orang yang berpuasa?' Mereka pun bangkit, tidak ada seorang pun yang masuk kecuali dari mereka. Ketika mereka telah masuk, (pintunya) ditutup dan tidak seorang pun masuk lagi." (HR. Bukhari, 1763. Muslim, 1947).

Jika dibandingkan dengan sebelas bulan yang lain, jelas kelihatan betapa berbezanya terdapat banyak kemuliaan dan keistimewaan bulan Ramadhan berbanding dengan bulan yang lain. Syaikh Muhammad Ibn Soleh Utsaimin rahimahullah telah mengatakan, ”Pintu-pintu syurga dibuka pada bulan ini kerana banyaknya amal kebaikan yang dikerjakan sekaligus untuk memotivasi umat islam untuk melakukan kebaikan. Pintu-pintu neraka ditutup karena sedikitnya maksiat yang dilakukan oleh orang yang beriman. Syaitan diikat kemudian dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti di bulan selain Ramadhan.”

Besarnya nikmat dan kelebihan yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya disaat menikmati bulan Ramadhan. Beruntunglah insan yang memanfaatkan peluang yang ada ini. Pintu al-Rayyan bukan sekadar nama, namun ia janji Allah yang pasti akan diberikan buat hamba-Nya yang tidak putus membuat kebaikan sepanjang menjalankan ibadaah puasa. Ayuh bersama memburu Pintu Al-Rayyan.


Pinta dan Harapan



Semakin dekat insan dengan Allah, semakin mustajab doanya. Kemustajaban doa sangat berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu perasaannya kepada kebesaran Allah, semakin pantas doanya dimustajabkan. Sebenarnya, bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk yang menyebabkan doa mustajab.

Usahalah dengan niat ikhlas kerana Allah dengan terus beribadah, merebut peluang yang ada dalam bulan Ramadhan. Allah menjanjikan untuk memustajabkan doa mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan Ramadan dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadan pula waktu yang Allah sayang disebabkan bulan pilihanNya dan suasana hamba-hambaNya taat kepadaNya.

Semoga dengan Ramadhan yang berbaki ini kita dapat memanfaatkan sebaiknya dan pintalah kepada Allah denngan penuh harapan agar Allah terima segala amala kebaikan yang kita telah kerjakan, agar Allah  rezekikan kita lagi untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Jangan putus berdoa. Didik diri dengan melazimi doa agar diri dapat terus dekat pad-Nya. Biar kita penat kerana agama, biar kita kita penat merasai manisnya ibadah, biar kepenatan itu menjadi asbab untuk kita mendapat syurga Allah.

Jika kita ditanya, apa yang kau sibuk sangat? Maka jawablah, Aku sibuk kerana aku masih hidup. Hidup untuk kumpul pahala. Kerana mati boleh datang bila-bila.


Pena Qalam Hazim,
17 Ramadhan 1437.
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Medan Ilmu Seluas Lautan

Sulung Padamu Ada Amanah

Mulianya bumi Syria…