2017, Diri, Matlamat dan Agama
KITA sudahpun menutup tirai 2016. Tahun baharu sudah pun masuk di balik tabir. Sudah bersedia untuk muncul bagi menyambung kitaran waktu berikutnya. 2016 bakal tersimpan dalam lipatan sejarah dengan pelbagai cerita. Lembaran tahun baharu 2017 masih lagi kosong, bersih dan terbentang luas.
Terpulanglah kepada setiap individu, lukisan kisah
kehidupan bagaimanakah ingin dilakarkan pada tahun 2017 nanti. Pilihan sentiasa
ada. Peluang terbuka. Cuma, tidak pasti, adakah kita masih ada kesempatannya?
Jika hati kecil sentiasa membisik dan mendesak supaya
berubah ke arah lebih baik, bertindak segera. Usah bertangguh lagi. Ya, waktu
masih ada, bimbang waktu itu bukan lagi milik kita.
Diri
Tahun silih berganti, maka kita juga perlu berubah ke arah
yang lebih baik. Tahun 2016 bakal meninggalkan kita dan tidak akan kembali lagu.
Yang tinggal hanyalah kenangan dengan pelbagai cerita yang mencorak hidup kita.
Apa pun, segala cerita yang berlalu kekal menjadi kenangan dan tersimpan dalam
lipatan sejarah. Saat terkenang kembali detik gembira dan bahagia, kita
mengharapkan alangkah indahnya jika detik itu dapat diulang semula. Ketika
terhimbau saat sedih dan kecewa, perasaan menjadi hiba dan mahu melenyapkannya
dalam memori kita.
Namun, usah sampai tenggelam dalam nostalgia lama
sehingga terlupa masa hadapan yang sedang menunggu kita. Masa hadapan yang
masih kosong. Tiada lagi warna yang dicorakkan. Tiada lagi babak yang
dilakonkan. Terserah kepada kita warna apa yang mahu kita pilih. Babak apa yang
mahu kita masukkan. Kenangan masa lampau tidak perlu dihapuskan, tetapi jadikan
ia pengajaran untuk kita melakar perjalanan di masa hadapan. Allah Ta’ala
berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu
kaum seehinggalah mereka yang berusaha untuk merubahnya” (Surah ar Ra’du: 11)
Ibrah dari ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t
menyuruh kita agar beruusaha merubah kehidupan kearah yang lebih baik sering
dengan panduan syariat. Perubahan itu tidak berlaku sendirinya melainkan kita
yang bertindak. Lantaran itu, iringlah langkah untuk berubah kerarah lebih baik
sempena than baru 2017 ini.
Justeru, mari kita ambil semangat permulaan sempena
tahun baru ini untuk berfikir sejenak mengenai masa hadapan. Berfikir merancang
penambahbaikan. Berfikir untuk lakukan perubahan.
Matlamat
Setiap yang berakhir, ada permulaanya. Hendaknya
begitu. Tahun 2016 ia ada permulaan dan kini sudah di pengakhiran. 2017 bakal
menjelang tiba, pasti dengan kehadiran tahun baru ada azam baru, matlamat baru.
Apa pun keadaannya, pastikan azam dan matlamat itu diikat dengan diri. Pastikan
ia bergerak seiring dengan diri. Selarikan, jangan asingkan.
Dalam kesibukan ini, ambil sedikit masa untuk terus
koreksi diri dan fokus pada matlamat yang ingin diimpikan. Ada orang yang kesibukannya
bukan setakat fikir mengenai diri sendiri, bahkan memikirkan juga hal orang
lain seolah diri sendiri itulah yang terbaik. Imbas kembali dimana letaknya
matlamat kita.
Selagi ada peluang untuk hidup, lakukan muhasabah
sebaiknya. Kuasai Matlamat Diri dari perkongsian yang menarik, jadikan ianya
motivasi untuk diri maju kehadapan.
Agama
Dalam banyak perubahan yang dilakukan di tahun 2017
nanti, letakkan paling utama dan asasi ialah perubahan dalam cara kita
beragama. Bagaimana kita memahami dan mengamalkan ajaran Islam. Seterusnya
bagaimana menguruskan kehidupan di atas landasan agama. Agama dalam diri jangan
dipisahkan.
Hidup kita ini tidak bernilai kecuali jika ia
dikaitkan dengan sesuatu bernilai juga. Tidak ada yang lebih bernilai dan
berharga pada manusia berbanding nilai agama. Jika hidup seseorang insan
dilihat berjaya, mampu memiliki segala kesenangan, diberi pelbagai gelaran dan
pangkat, tetapi jika semua itu jauh dari nilai agama tidak berguna.
Di samping kita mengejar impian hidup yang pelbagai,
masukkan agenda utamanya ialah bagi menguruskan hidup ini selari dengan
kehendak ALLAH SWT dan apa ditunjukkan Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadith nabi
ada menyatakan:
Daripada Abu Najih
Al Irbadh bin Sariah r.adia berkata : Rasulullah s.a.w memberikan kami nasihat
yang membuat hati kami bergetar dan air mata kami bercucuran. Maka kami berkata
: Ya Rasulullah, seakan-akan ini merupakan nasihat perpisahan, maka berilah
kami wasiat. Rasulullah s.a.w bersabda : “ Saya wasiatkan kamu untuk bertakwa
kepada Allah ta’ala, tunduk dan patuh kepada pemimpin kalian meskipun yang
memimpin kalian adalah seorang hamba. Kerana di antara kamu yang hidup (setelah
ini) akan menyaksikan banyaknya perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh terhadap ajaranku (sunnahku) dan ajaran
Khulafaurrasyidin yang mendapatkan petunjuk, gigitlah (genggamlah dengan kuat) dengan
geraham. Hendaklah kamu menghindari perkara yang diada-adakan, karena semua
perkara bid’ah adalah sesat “
(Riwayat Abu Daud dan Turmuzi, dia berkata : hasan
shahih)
Ibrah hadith diatas yang cuba dikongsikan adalah
supaya kita hidup dengan agama berpandukan Sunnah nabi. Ikut sepenuhnya dan
genggam Sunnah kerana pada zaman kini telah wujud perselisihan dan boleh
menyebabkan perpecahan. Apapun kesudahan, berpegang pada Sunnah sebagai panduan
hidup beragama adalah yang terbaik.
Aturlah kehidupan ini dengan acuan agama. Apabila
agama menjadi acuan kehidupan, bentuk yang dihasilkan juga ada nilainya di sisi
agama. Ketika itu, dakilah setinggi mana pun kejayaan, kumpullah sebanyak mana
pun kekayaan, dapatlah sepanjang mana pun pangkat dan gelaran, semua itu akan
mampu membawa balik pemiliknya untuk tunduk dan lebih dekat kepada Tuhan.
Ucapkan selamat datang buat 2017. Semoga kehadirannya
memberi sinar baharu buat kehidupan. Tahun baharu dengan cara fikiran dan
matlamat baharu bagi membina hidup baharu. Walau apapun keadaanya, teruslah
mengorak langkah mencapai cita-cita dan impian.
Pena Qalam Hazim
Kolej Keris Mas UKM
Comments
Post a Comment