Kelembutan Dalam Kehidupan – Islam Itu Indah -Prof Dr.Muhaya
Kelembutan Dalam Kehidupan
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
Prof. Dr. Muhaya Muhamad
Pagi tadi saya mendengar ‘audio book’ saya daripada buku
bertajuk “Bimbingan Mukminin” yang menyebut – “Apabila seseorang itu bernasib
baik, Allah akan memberikan dia sifat lemah-lembut. Siapa yang tidak bernasib
baik, dia tidak ada sifat lemah-lembut ini.” Saya jadi takut mendengarnya dan
tertanya-tanya adakah saya ini orang yang bernasib baik atau tidak. Sambungan
audio book: “Apabila Allah ingin beri rahmat pada seseorang itu, Allah akan
berinya sifat lemah-lembut. Jika Allah ingin beri rahmat kepada sesebuah
keluarga, seluruh ahli keluarganya Allah akan buka pintu hati mereka berikan
mereka sifat lemah-lembut.” Jadi, hari ini kita ingi merenung diri kita –
adakah kita termasuk dalam golongan orang yang kasar ataupun yang lemah-lembut?
Allah jadikan kita daripada tanah yang sifatnya lembut pada
asalnya. Kemudian dimasukkan roh oleh Allah yang bersifat suci. Sebab itu, kita
lihat bayi sifatnya lembut dan suci, tiada bayi yang jahat. Tetapi kenapa tanah
(manusia) boleh menjadi keras? Pertama kerana api – iaitu yang berasal daripada
syaitan. Kedua – apabila dibiarkan begitu saja, dengan kata jika seseorang itu
hidup dalam kalangan orang yang kasar, maka kebiasaan dirinya juga akan menjadi
kasar.
Cuba kita renungkan, jika kita kasar, apakah sebabnya?
Bukankah Islam boleh melembutkan seseorang? Contohnya, Sy. Umar yang sangat
kasar sebelumnya menjadi lembut hatinya dan akhlaknya dengan Islam. Oleh itu,
kita perlu mempertingkatkan keislaman kita agar dengan itu kita akan dapat menunjukkan
betapa indahnya Islam itu.
Perhatikan cara kita bercakap, cara kita berdakwah. Untuk
menegur orang, kita tak perlu cakap kuat-kuat seperti berpidato. Saya minta
maaf kerana ingin sebut – kadang-kadang ada orang cakap terlalu banyak, tetapi
isinya sedikit, lawak dan contohnya terlalu banyak, nadanya terlalu tinggi
sehingga kadang-kadang sakit telinga mendengarnya. Tetapi jika orang berilmu
bercakap, cakapnya lembut saja tetapi sampai kepada hati kita. Kita, bila jumpa
orang, kita akan suka orang yang lembut, bukannya orang yang cantik saja.
Ada beberapa jenis lembut, iaitu:
- 1 lembut hati. Pohon yang keras akan mati, tetapi pohon yang lembut dahan dan daunnya yang terus hidup. Orang lembut hati mudah menangis mendengar kesusahan orang lain. Orang yang keras hati tidak peduli hal orang lain di sekelilingya.
- 2 lembut kata-kata – seumpama madu yang keluar daripada mulut kita.
- 3 lembut tindak-tanduk – cara kita bersalam, berjalan. Jika kita terlalu gopoh-gapah, orang nak tegur pun takut.
- 4 lembut dalam beribadah – cuba perhatikan cara orang solat - ada yang lemah-lembut dan ada yang kasar caranya, sedangkan kita ingin menyembah Zat Yang Maha Berkuasa. Allah tidak suruh kita berdoa dengan suara yang lantang-lantang, oleh itu ketika berjemaah bacalah doa dengan lembut dan kusyuk sebagaimana kita bersendirian, kecualilah jika dilakukan doa qunut nazilah dan seumpamanya. Amat penting bagi pemimpin orang-ramai kepada Allah untuk bersifat lemah-lembut agar orang bukan Islam lebih mudah tertarik pada agama kita. Cuba kita perhatikan apa yang selalu menjadi isi ucapan para ketua agama lain – “love, kindness, joy”, tapi kita bagaimana? Cuba kita perhatikan apa yang kita sebut bila kita jumpa orang – kita selalu tunjukkan kesalahan orang dan kata dia buat salah dan akan masuk neraka. Kita tak boleh macam tu – kita kena hormat dia dulu, menangi hatinya terlebih dahulu.
Ada 4 sifat yang kita perlu ada setiap hari:
- hormati semua makhluk Allah
- bersifat lemah-lembut
- ikhlas berbuat baik tanpa mengharapkan balasan
- sentiasa bertanya – apakah manfaat yang boleh diberi kepada orang lain?
Adakah hidup kita ini gembira sahaja? Apakah tujuan kita
masuk laman-sosial? Gunakan mata kita, minda kita untuk mencari kebaikan dalam
fb. Jangan kita melayan rakan-rakan yang meletak gambar tidak menutup aurat dan
menunjuk-nunjuk hal keduniaan saja. Manusia ini ada roh dan jasad. Memang bagus
jika kita makan makanan sunnah, tetapi kita lebih perlu mengamalkan sunnah agar
menjadi makanan kepada roh kita pula.
Iman kitalah yang menentukan apakah pilihan kita hati kita.
Hati akan menimbulkan akhlak dan dari situlah akan timbul kelembutan. Kita
sepatutnya mulakan dengan muqadimah ini tadi –
“Ilahi, Engkaulah yang kutuju, redha-Mu yang kucari, kurniakanlah pada
diriku untuk mengenal dan mengasihi diri-Mu.”
Kalau boleh sebelum
kita beri komen, atau tanya soalan dalam fb, tanya balik apakah tujuan kita.
Biarlah tujuannya adalah untuk mencari redha dan kasih-sayang Allah, bukan nak
tunjuk kita hebat, atau pandai. Saya juga mendoakan agar saya tak jadi begitu.
Saya ingin kongsi kisah yang saya dengar tentang Abdullah
bin Mas’ud, seorang ahli hadis terkenal. Wangnya telah dicuri. Semua sahabatnya
mendoakan orang yang mencuri wang itu ditimpa bala, tetapi dia tidak. Itulah
bezanya orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Dia mendoakan, “Ya
Allah Ya Tuhanku, jika orang yang mencuri duitku kerana keperluannya yang
mustahak, Kau berilah keberkatan duit itu pada dirinya. Kalau dia mencuri
kerana jahat walaupun tahu perbuatannya itu salah, aku mendoakan inilah kali
terakhir dia mencuri”. Inilah cara berfikir orang berilmu – tidak mementingkan
diri sendiri – sanggup menyedekahkan wang yang dicuri dan mendoakan kebaikan
kepada orang yang buat jahat kepadanya.
Senarai soalan dan
jawapan
S: Saya mendidik anak dengan lemah-lembut tapi
ada yang menasihatkan sebaliknya kerana dikhuatiri anak mudah dibuli pula.
Mohon pendapat Prof.?
J: Anak-anak berumur 0-6 tahun masih kosong ‘software’-nya,
jadi kita kena lemah-lembut. Ketika ini dan jangan sekali-kali kasar. Ini akan
menjadi ‘blueprint’ anak dan ketika mula membesar ‘blueprint’ ini akan
menghasilkan akhlak yang lembut. Setelah anak berumur 7-14 tahun, barulah kita
bezakan apa yang kita perlu tegas dan perlu lemah-lembut. Dalam hal agama,
aurat, ibadah kita perlu tegas. Setelah itu, pada umur 14-21, anak akan
mengikut model yang ada disekelilingnya terutamanya kawan-kawan. Oleh itu, saya
menyeru ibu bapa dan guru terutamanya agar tidak kasar kepada anak murid kerana
anak murid akan cepat meniru apa yang ditunjukkan guru di sekolah.
S: Mohon beri tip bagaimana menjaga kusyuk
dalam solat?
J: Saya minta maaf kerana tidak layak membincangkan hal ini.
Pada saya mendirikan solat itu dengan roh dan mengerjakan solat pula
semata-mata dengan fizikal. Datin Mahani berpesan pada saya agar membacakan
ayat berikut selepas membaca surah An-nas sebelum memulakan solat:
“Ilahi, Engkaulah yang
kutuju, redha-Mu yang kucari, kurniakanlah pada diriku untuk mengenal dan
mengasihi diri-Mu.”
Sebenarnya, kata-kata ini elok diamalkan sebelum kita
melakukan apa saja – agar jelas tujuan pekerjaan kita.
S: Ustaz-ustaz suka bercerita tentang masalah
dalam khutbah tapi tak memberi cara penyelesaian. Mohon ulasan Prof.
J: Orang yang bijak tidak menjadikan masalah sebagai
masalah. Dalam menghadapi masalah, manusia ada dua jenis – menjadikannya
sebagai batu loncatan atau batu penghalang. Dalam istilah bahasa inggerisnya –
orang bising dan cakap banyak tanpa menghasilkan sesuatu digelar ‘duck’,
manakala ‘eagle’ pula tidak pedulikan orang lain dan terbang bersendirian
kerana dia tahu dirinya ada misi tersendiri.
S: Jika kita mengutamakan orang lain, bagaimana
pula dengan diri kita?
J: Kalau kita lihat betul-betul, dengan memberi kepada orang lain, kita sebenarnya memberi kepada diri sendiri. Contohnya, katakan kita beli 10 helai baju raya untuk diri sendiri, adakah kita akan seronok selepas itu? Seronoknya sekejap saja, selepas itu akan fikir bila nak pakai, nak simpan di mana. Tetapi, cuba kita beli 2 untuk diri dan lebihnya 8 pasang lagi untuk orang lain. Kita pasti akan rasa lebih gembira. Apabila kita memberi, kita sebenarnya memberi makanan kepada rohani kita. Ada 3 jenis makanan – makanan fizikal, emosi dan rohani. Orang yang kenyang dengan kasih sayang Allah takkan peduli orang lain. Orang yang kurang makanan emosi (kasih-sayang manusia) akan makan banyak makanan fizikal. Bila puasa, kita ingin beri makan pada rohani kita dengan ibadah yang dilakukan. Oleh itu, kita tidak mahu ‘pulun’ beribadat dalam bulan puasa saja, tetapi tinggalkan semuanya di luar Ramadan. Kita ingin jadikan amalan di bulan puasa menjadi satu tabiat dan berterusan di luar Ramadan.
J: Kalau kita lihat betul-betul, dengan memberi kepada orang lain, kita sebenarnya memberi kepada diri sendiri. Contohnya, katakan kita beli 10 helai baju raya untuk diri sendiri, adakah kita akan seronok selepas itu? Seronoknya sekejap saja, selepas itu akan fikir bila nak pakai, nak simpan di mana. Tetapi, cuba kita beli 2 untuk diri dan lebihnya 8 pasang lagi untuk orang lain. Kita pasti akan rasa lebih gembira. Apabila kita memberi, kita sebenarnya memberi makanan kepada rohani kita. Ada 3 jenis makanan – makanan fizikal, emosi dan rohani. Orang yang kenyang dengan kasih sayang Allah takkan peduli orang lain. Orang yang kurang makanan emosi (kasih-sayang manusia) akan makan banyak makanan fizikal. Bila puasa, kita ingin beri makan pada rohani kita dengan ibadah yang dilakukan. Oleh itu, kita tidak mahu ‘pulun’ beribadat dalam bulan puasa saja, tetapi tinggalkan semuanya di luar Ramadan. Kita ingin jadikan amalan di bulan puasa menjadi satu tabiat dan berterusan di luar Ramadan.
Ada 3 jenis manusia:
- Ada orang tidak mahu tolong orang lain – cuma pentingkan diri sendiri dan inilah sifat yang paling rendah
- Akan tolong jika mendapat balasan – kasihan pada orang sebegini kerana dia akan kecil hati jika orang tak menghargai bantuannya.
- Orang yang mencari redha Allah – inilah orang yang sedekah dengan tangan kanan sehingga tangan kiri pun tak tahu.
Orang yang kenyang dengan kasih-sayang Allah takkan menagih
kasih-sayang manusia. Orang yang bahagia dengan Allah, akan bahagia dengan
manusia lain. Oleh itu, jika kita lihat orang yang tidak baik perangainya, kita
perlu kasihan padanya kerana sebenarnya hatinya sedang sakit.
S: Kita kena maafkan orang tapi kadang-kadang
kita terluka. Bagaimana menghadapinya?
J: Betul, itu banyak berlaku. Tetapi di akhirat nanti, orang
yang masuk syurga ialah golongan yang sedikit. Jadi kita nak masuk golongan
mana? Saya pernah dengar sebelum ini jika seseorang itu memaafkan orang yang
dia ada hak untuk memarahinya kembali, akan mendapat layanan yang istimewa di
akhirat nanti. Oleh itu, apa kata kita maafkan saja. Menurut kajian saya pun,
orang yang memaafkan akan lebih kuat otot-ototnya. Sebaliknya jika marah-marah,
otot jadi lemah, sisitem imuniti dan badan pun jadi lemah.
S: Prof. sangat positif, tapi tak semua orang
mempunyai personaliti sekuat itu. Mohon Prof. ulas.
J: Personaliti seseorang bergantung kepada cara didikan
ketika dia kecil. Tapi jika kita sudah berumur, bagaimana untuk mengubahnya?
Melalui ilmu! Hadiri majlis ilmu, baca buku, cari kitab Bimbingan Mukminin,
Riyadus Solihin. Syeikh Yusuf Al-Qardawi berkata, “Kau tunjukkan aku buku apa
kau baca, aku tahu siapa engkau. Kau tunjukkan aku apa kau suka, aku tahu siapa
engkau. Kau tunjukkan aku siapa kawan kau, aku tahu siapa engkau.” Oleh sebab
itu, kita perlu sentiasa audit diri kita – ke arah manakah kita pergi?
Mendekati syurga atau neraka? Untuk menguatkan lagi – ada 2 jenis kehidupan -
Orang yang berada di sebelah kiri: tidak berilmu, takut, risau, sakit,
‘stress’, miskin. Di sebelah kanan pula orang yang berilmu, redha, yakin,
sihat, kaya. Sebelah mana yang kita inginkan? Dua perkara boleh masukkan kita
ke syurga – ilmu dan harta. Dua benda yang sama juga, jika disalah guna akan
bawa kita ke neraka. Kita boleh dengki dalam hal kebaikan, contohnya ingin
berilmu sepertimana orang berilmu dan kaya sepertimana orang kaya yang pemurah.
Cari ilmu di tempat yang betul.
S: Bagaimana mahu mendidik sifat lemah-lembut
dalam diri? Apa beza
lemah-lembut dengan sopan-santun?
J: Seperti yang pemanggil tadi kongsikan – orang yang
lemah-lembut ini pemaaf, cinta pada Allah, sensitif dan kasihan pada orang
lain. Untuk mendidik diri, tanya diri sifat lemah-lembut mana kita nak mulakan
dulu? Contohnya, kata pada diri: “Hari ini saya ingin jadi orang yang pertama
senyum pada orang lain.” Amalkan juga 5 S – senyum, sapa (bertanya khabar),
salam (beri salam bila masuk lif, jumpa orang), sentiasa sopan dan santun.
Sopan ini ialah bahasa badan kita dan santun ialah sifat mendahulukan orang
lain. Contohnya, jika buka pintu, pegang dan tahan untuk orang lain juga,
jangan terus ‘lempar’ muka pintu pada orang lain. Mulakan tabiat dan kekalkan
sehingga 21 hari berturut-turut dan otak akan mendaftakan akhlak itu sebagai
tabiat. Pilih buku dan kawan yang baik.
S: Prof. ialah seorang ikon wanita yang
berjaya dalam kerjaya dan rumahangga. Mohon Prof. kongsikan bagaimana Prof.
menyeimbangkan masa untuk diri, keluarga dan kerjaya?
J: Saya bukanlah ikon dan ada banyak kelemahan yang orang
tak tahu – orang kenal saya setelah saya berubah begini, sebelum ini orang tak
tahu saya bagaimana. Tetapi saya kongsikan sedikit daripada pengalaman:
Pertama sekali niat mesti betul – niat mesti dengan Allah
bukan kerana manusia. Apabila kita sudah niat dengan Allah, seolah-olah, kita
telah ‘lock’ GPS arah tujuan hidup kita. Masa kecil dulu, ayah saya selalu
berpesan, “Muhaya, belajar bukan untuk jadi doktor biasa, tetapi untuk jadi doktor
mukmin”. Kerana pesanannya itu, saya pun belajar kerana Allah dan niat untuk
bantu orang. Mungkin kerana keberkatan itu, Allah izinkan saya lulus dengan
cemerlang dan tak perlu ‘defer paper’, balajar mudah ingat, pensyarah pun
sayang. Kebetulan mudah kerja saya.
Mungkin juga kerana ketika itu bila saya belajar, saya suka
tolong orang. Saya suka mengajar – lepas kuliah, saya akan ajar orang. Jadi,
bila kita ajar orang, kita akan ingat 100% apa yang kita belajar. Jadi, walaipun
saya tak belajar pun, saya mudah ingat dan boleh ‘score’. Kemudian, saya kahwin
awal untuk mencari redha Allah dan takut terlibat dengan maksiat. Saya buat
benda yang orang lain tidak buat tetapi saya tak fikir apa orang kata kerana
saya cuma peduli apa Allah kata. Mungkin kerana didikan dari kecil untuk saya
mengutamakan Allah dahulu.
Setelah berkahwin, saya beritahu suami yang kepentingan saya
ialah suami dulu, kemudian baru belajar. Jadi, jika sedang belajar dan suami
suruh buat air, saya tinggalkan belajar dan buat air dulu. Bila saya buat macam
itu dengan suami, suami pun baik dengan saya dan rumah tangga pun tenang tiada
pergeseran, syukur pada Allah.
Bila mendidik anak pula, saya akan sentiasa sebut dosa,
pahala, syurga, neraka. Jika saya sibuk, saya akan beritahu anak bahawa saya
sibuk adalah kerana saya membantu orang. Jadi, anak-anak telah dididik sejak
kecil dengan budaya menolong orang dan saya rasa adalah penting untuk mendidik
anak dengan budaya memberi. Jika membeli-belah, ingatkan anak untuk beli untuk
sepupu contohnya. Jangan ajar anak terlalu kekitaan (pentingkan diri sendiri).
Saya juga mengalami ujian keguguran dan seumpamanya tetapi
saya tidak risau kerana saya yakin Allah akan tolong kerana niat saya kerana Allah.
Jadi, sakit pun terasa nikmat. Tuhan pun inzinkan bila periksa, saya lulus
semua. Para pelajar, ingin saya kongsi kepentingan solat hajat. Saya belajar
ini daripada Prof. Datuk Luqman, bekas dekan di UKM dahulu. Saya bertanya
bagaimana dia boleh lulus peperiksan FRCS, jawabnya, “Muhaya, saya solat
hajat”. Bila saya dengar itu, saya terus ikut. Jadi, bila kita jumpa perkara
baik yang orang lain lakukan, kita terus ikut buat juga. Jangan lengah-lengah
dan kata nanti saya cuba. Jangan kata, “I will do my best”, sebaliknya kata, “I
do my best”.
Dari segi kerjaya, cuba tolong dan baik dengan orang lain dan
jangan sakitkan hati orang. Bila kita baik dengan orang, pertolongan akan
datang. Saya rasa formula untuk segala-galanya ialah jadi baik, jangan sesekali
kita sakitkan hati orang. Kalau boleh, biar orang sakitkan kita, kita jangan sakitkan
orang.
Kemudian, biar tinggi mana sekalipun pangkat kita, isteri
jangan sombong dengan suami. Betul, memang payah untuk dapatkan sesuatu pangkat
atau gelaran, tapi bila dah dapat tiada apa-apa pun sebenarnya. Biar kita kejar
akhirat, kerana di situ baru ada makna dalam setiap apa yang kita buat. Jangan
kejar cita-cita, tapi kejarlah makna kehidupan. Apa yang akan kita tinggalkan
selepas kita mati dan jadikanlah Ramadan ini seolah-olah yang terakhir untuk
kita.
S: Apa motivasi terbaik untuk hindarkan diri
dari buat dosa?
J: Ingat mati. Kita ada pilihan raya setiap hari – iman vs
nafsu, dosa vs pahala, syurga vs neraka, taat vs maksiat, dan Allah redha vs
Allah murka. Saya ingin ‘quote’ apa yang saya dengar daripada kitab Bimbingan
Mukminin – disebut ada 5 jenis nafsu tapi saya sempat salin 4 sahaja:
Manusia yang suka seronok sahaja – inilah orang yang rugi
Manusia yang suka perhiasan sahaja – contohnya, wanita suka
menghias sehingga keterlaluan. Kata pepatah inggeris, “Don’t collect stuffs,
collect virtues”, terjemahannya, “Jangan kutip barang, tapi kutip nilai”.
Sepatutnya kita berusaha membentuk nilai yang baik sehingga menjadi tabiat
diri.
Sukan berlawan megah – suka membandingkan pangkat suami,
keputusan periksan anak-anak, perabot dan seumpamanya.
Sibuk mencari harta dan pengikut – sedangkan bila mati,
bukan ada pengikut yang akan menemani pun. Pemimpin yang tidak membawa orang
dipimpinnya kepada jalan Allah akan bertelagah sesama mereka kelak di akhirat.
S: Saya pernah difitnah dua kali dan saya
tidak dapat memaafkan kerana akan terkenang apa yang telah berlaku. Bagaimana
untuk mengatasi?
J: Sangat mudah untuk mengatasinya dengan membuang 2 emosi
yang tidak sepatutnya ada dalam diri kita iaitu:
Sakit hati dengan orang
Menyesal tak sudah-sudah – Mungkin orang pernah fitnah kita
10 tahun yang lalu, kesan sebenarnya mungkin ambil masa sebulan, tetapi kita
masih sakit hati padanya sehingga hari ini dan perbuatan ini seolah-olah kita
telah memberikan umur kita kepadanya.
Orang bijak tidak akan membiarkan orang lain menentukan
emosi dirinya. Apabila dikritik, dia akan menerima dengan baik dan berterima
kasih pada pengkritik. Jika kita tahu orang yang mengkritik itu salah, kita
diamkan dan sebut dalam hati yang kita yakin dengan Allah dengan apa yang kita
lakukan. Orang sebegini takkan peduli dengan ada pandangan orang terhadapnya.
Inilah golongan yang sedikit. Kita nak jadi orang yang kuat personaliti dan
kuat iman. Tanpa iman yang kuat, personaliti kuat boleh memberi pengaruh untuk
menyesatkan orang lain. Jadi, jangan hidup di masa lampau – jangan gali lubang
kubur sendiri.
S: Dahulu saya kasar tetapi sudah insaf dan
ingin berubah sekarang. Tetapi kesan saya kasar itu dapad dilihat pada
anak-anak. Bagaimana untuk mengubahnya kembali?
J: Minta maaf pada anak-anak – Kita selalu rasa diri lebih
bagus daripada mereka, sedangkan anak-anak kurang dosa berbanding kita. Kita
jangan ‘judge’ orang kerana manusia akan bertindak mengikut ilmu yang ada
padanya. Kita berikan contoh yang baik pada anak dengan bersikap lembut
terlebih dahulu.
S: Bagaimana untuk membentuk anak agar tidak
terpengaruh dengan rakan-rakan yang kasar disekolah?
J: Kita nak didik generasi yang mampu mendidik dirinya dan
kemudian mendidik masyarakat pula. Kita tak mahu masyarakat yang mendidik anak
kita. Kita ingin jadi seperti ikan yang masuk ke laut tetapi tidak masin kerana
dalam dirinya ada sistem yang menapis keluar garam yang masuk itu. Begitulah
yang kita ingin jadi.
Walaupun ada anasir tidak baik dari luar, anak akan mampu
membuat pilihan dan memilih yang terbaik. Oleh sebab itu, jika ada anak yang
masih belum berumur 6 tahun, masukkan ‘software’ yang betul ke dalam
pemikirannya – kenalkan dia pada Islam, pada dosa/pahala, pada syurga/neraka.
Perhatikan ‘channel’ apa yang kita pasang di rumah. Jangan hanya pasang hiburan
semata di rumah.
Ajar anak amalkan 5 s – senyum, sapa, salam, sopan-santun.
Jangan buat 3 m – merungut, marah, menyesal. Kalau jumpa orang – sebut kebaikan
mereka, hargai mereka dan jangan kritik mereka. Setiap hari – fikir yang baik,
cakap yang baik dan buat yang baik. Sayang pada semua orang – orang baik kita
sayang, orang jahat kita kasihan dan doakan dia. Walaupun anak saya sudah besar,
saya masih sebut perkara yang sama walaupun dia sudah jemu mendengarnya. Emak
saya sendiri menegur saya walaupun saya telah berumur 40 tahun dan saya
menerimanya dengan gembira.
Kesimpulan:
Saya ingin bawa kisah Nabi SAW berpesan kepada Aisyah r.a untuk
berlembut dan senyum pada wajah. Mulanya saya ingat senyum biasa sahaja, tetapi
rupa-rupanya baginda SAW menyuruh senyum ketika marah. Subhanallah – sebab
itulah Nabi SAW berpesan, jika senyum ketika rasa biasa tentulah Nabi SAW tak
perlu berpesan. Semua orang boleh senyum ketika gembira, tetapi berapa ramai
yang boleh senyum ketika marah?
Seperkara lagi yang disukai Nabi SAW ialah apabila seseorang
memudahkan urusan orang lain. Contohnya, orang berniaga – sekali tawar terus
diberinya. Nabi SAW sangat suka sifat ini, oleh itu, tak kiralah apa jawatan
kita – guru, petugas kaunter dan sebagainya – permudahkanlah urusan orang lain.
Semoga dengan itu, Allah mudahkan urusan kita pula. Versi bahasa Inggeris, “If
we help enough people get what they want, you will get all that you want.”
Jadi, mari kita niatkan untuk tolong orang setiap hari. Dan ingat, bila kita
tolong orang, kita telah menolong diri sendiri dengan memberi makanan pada
rohani kita. Mohon maaf jika tersalah, tersilap atau tersalah beri ilmu dan
mohon beri teguran.
sebenarnya, artikel ini sudah lama, tapi saja saya nak repost untuk manfaat kita semua...Saya tertarik dengan artikel nie...so, artikel nie bukanlah nukilan saya..saya jarang menukilkan artikel, saya banyak repost supaya saya tidak rasa bosan...pada masa yang sama dapat juga mengisi masa utuk membacanya berulang kali.
Repost by Qalam Hazim
Comments
Post a Comment