Info Ramadhan (Ahlan ya Ramadhan)- Dr UZAR
Beberapa Info Berguna
Berkenaan Malam Al-Qadar
Laylatul
Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa
buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr .
Firman Allah SWT :
Ertinya :
"Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr : 2) .
Di Malam
ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan
yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith :-
Ertinya :
Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam
terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" (
Riwayat Muslim, no 1175 )
Sebuah lagi
hadis menyebut :-
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah
Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya
(malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya :
" Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan
malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi
isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat
Al-Bukhari dan Muslim)
Waktunya
Para ulama
antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul
qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha
bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat
tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.
Iaitu
seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari
pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari
hadith-hadith yang sohih.
Bagaimanapun
tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah
beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam
tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.
Malah,
tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca
sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa
mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula
mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di
tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.
Jawabnya,
tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih
dari itu.
Menurut
pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh
malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.
Hadith Nabi
menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya :
" Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan
ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun,
kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab
memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara.
Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar
diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan
seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya.
Wallahu alam.
Tarikhnya
Berubah atau Tetap Setiap Tahun?
Sebahagian
ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27
Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula
berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu
tarikh (Al-Majmu' 6/450).
Selain dari
itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh
pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan
sabdaan Nabi SAW:-
أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان
متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya :
Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa
yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat
al-Bukhari , no 1911 & Muslim)
Dari tiga
tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh
kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh
kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat
bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di
zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh
itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana
dalil hadith yang menyebut:-
ليلة القدر ليلة سبع وعشرين
Ertinya :
"Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu
Daud, no 1386 )
Doa
Terpenting Semasa Lailatul Qadar
Allah s.w.t
pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak
kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam
firmanNya :-
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي
الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya :
Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami
(kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di
akhirat ( Al-Baqarah : 200 )
Jelas dalam
ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
Lalu Allah
s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan
dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di
tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian
akhirat perlu lebih dari dunia.
Lihat doa
yang diingini Allah s.w.t :-
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي
الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya :
"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami,
berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami
dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )
Di
malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan
Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن
وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya :
"Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu
Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : "
Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat
suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"
Mestikah
Mendapat Tanda ?
Sabda Nabi
SAW :
من يقم ليلة القدر فيوافقها..
Ertinya :
Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." (
Riwayat Muslim)
Hadiith ini
menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat
keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.
Bagaimanapun,
pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat
kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan
bahawa sesetengah individu diberi rezeki dan kelebihan oleh Allah untuk
mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin
pelik dan sebagainya.
Tidak
perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana
ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan
tandanya menurut kehendakNya.
Masa Berkat
Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?
Saya masih
ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada
kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :
waktu
maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah
sepanjang hayat.
Rupanya, ia
hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka.
Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah
disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya :
Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )
Inilah yang
diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li
Ahkam al-Quran, 20/134 )
Wanita Haid
Terhalang Dari Berkatnya ?
Adakah
wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu
jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan
dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-
- 1) Berzikir
- 2) Berdoa
- 3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
- 4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.
Sebahagian
ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof
Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran
tanpa memegangnya (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti
Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak
ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di
kalangan para ulama.
Semoga kita
diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.
sekian
Zaharuddin
Abd Rahman
Comments
Post a Comment