Nikmat dan Keperitan

Allah s.w.t berfirman: “Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan akhirat itulah negeri yang abadi”. (Surah al-Ghafir:39)

Firman Allah di atas telah menyatakan bahawa dunia ini hanya sementara, segala apa yang ada dalam dunia ini, berbentuk kesenangan dan keseronokan, ia hanya bersifat sementara. Tidak ada yang akan kekal kerana kehdiupan kita didunia ini akan ada penghujungnya.

Betapa ramai manusia menjadi lupa daratan. Betapa ramai manusia menjadi ingkar. Betapa ramai manusia tidak dapat bersyukur. Betapa ramai insan menjadi derhaka dan berkhianat. Mereka melupakan tujuan hidupnya ketika di dunia dan hanya mengejar kenikmatan dunia.

Dunia yang dikejar akan berakhir. Tempat manusia hidup. Tempat manusia memuja kenikmatan. Semuanya akan menjadi sia-sia. Lupa pada fitrah sebenar.


Dunia Ibarat Permainan
 Image result for dunia ibarat permainan

Kehidupan di dunia diibaratkan permainan dan senda gurau sahaja. Ada kalanya menang ada kalanya kalah. Susah dan senang silih berganti. Senangnya merupakan kesenangan yang menipu, sedihnya merupakan kesengsaraan sementara. Itulah di namakan kehidupan di alam fana.

Kehidupan didunia sungguh berbeza dengan kehidupan sejati dan abadi di akhirat  nanti. Barangsiapa senang, maka ia akan selamanya senang (Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan ini). Barangsiapa menderita, maka ia akan menderita selamanya (jauhkan kami dari golongan ini).

Didalam kitab suci Al-Quran ada menyebutkan bahawa kehidupan di dunia tidak lebih hanya main-main dan senda gurau semata. Firman Allah SWT mafhumnya:

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Surah Al-An'Am: 32)

Firman Allh dalam surah lain pun ada menyatakan yang bermaksud:
"Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." (Surah Al-Ankabut:  64)


Dunia Nikmat Sementara

 Related image

Dalam kehidupan ini ada bertingkat-tingkat tentang kenikmatan dunia. Manusia berlumba-lumba mengejar, hingga kepayahan, dan umurnya habis, dan hidupnya tersungkur, hanya diarahkan mengejar kenikmatan dunia.

Tiada satupun kenikmatan dunia yang sejati. Kenikmatan yang diinginkan manusia dalam kehidupan dunia ini hanyalah kenikmatan ilusi. Harum mekarnya umpama dikuntum, sampai masa busuklah ia. Ia hanya khayalan dari manusia yang sudah menjadi tabiat hidupnya hanya untuk kenikmatan dan kemegahan.

Tidak ada maknanya kenikmatan dan kelazatan dunia yang kita miliki, yang boleh membuat manusia menjadi lupa dan mabuk, sehingga terlena dengan kehidupan dunia. Kehidupan manusia yang sudah mabuk dunia itu, menjadi sujud, rukuk, dan ibadahnya hanya untuk memenuhi rasa kenikmatan dunia.

Janganlah sampai kita tertipu dengan hasutan syaitan yang membisikkan hal kenikmatan dan kesenangan didunia yang hanya sementara ini.  Tiada satu pun yang akan dapat kita bawa bersama ke liang kubur.


Akhirat Nikmat Abadi

 Related image

Ketahuilah, sesungguhnya kenikmatan yang teragung dan terbesar, iaitu kenikmatan yang dirasai sepenuhnya di hari akhirat nanti. Kenikmatan akhirat itulah yang akan membawa hamba kepada kemuliaan yang kekal. Kerana itu, hakikatnya seorang mukmin, tidak mengejar kenikmatan dunia, yang tidak memiliki keuntungan apa-apa melainkan sedikit sahaja, dibandingkan dengan kenikmatan berupa kemuliaan disisi Allah.

Kalau manusia meletakkan dunia dan kesenangan dunia sebagai matlamat hidup maka manusia itu telah tertipu kerana dunia dan segala isinya adalah terlalu kecil ( sedikit ) berbanding dengan hari akhirat.

Marilah sama-sama kita jadikan kehidupaan di dunia ini sebagai medan untuk kita beramal dan menyediakan persiapan kita menuju dunia akhirat. Tidak mungkin kita akan tenang dan berbahagia apabila membawa bekalan yang sedikit dan tidak berkualiti pula apabila menuju perjalanan yang jauh iaitu ke alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi.

Jangan kita sia-siakan masa, umur, tenaga dan kekayaan yang kita miliki tanpa membuat pelaburan untuk bekalan kita di sana, ketika itu apa yang akan menjadi pertukaran adalah amal-amal soleh, amal ibadah, amal kebajikan yang kita lakukan di dunia ini semata-mata kerana Allah SWT. Renungkanlah dan bertindak segera tanpa ditangguh-tangguhkan lagi.



Nikmat dan Keperitan
 Image result for nikmat dan keperitan

Mengharungi perjalanan hidup kita di dunia ini, dua perkara akan terlintas dalam fikiran kita iaitu nikmat dan keperitan. Ia menggambarkan corak pengembaraan kita selama mana kita berada di dunia ini. Pengembaraan hidup ini tidak akan pernah sunyi, nikmat dan keperitan akan sentiasa hadir menemani kita di setiap langkah.

Mungkin, kita sedia maklum, dunia ini medan ujian kita yang memberikan rasa keperitan buat kita, dan mungkin pada masa yang sama ianya juga medan untuk mengautkan kebahagian yang membuat kita rasa nikmatnya hidup di dunia ini.

Dalam sebuah hadith ada menceritkan perihal nikmat dan keperitan yang dilalui oleh anak adam selama hidup di atas dunia ini, nabi salallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Daripada Anas bin Malik berkata: Rasulullah s.a.w bersabda:”Orang termewah didunia yang termasuk penghuni neraka didatangkan pada kiamat lalu dicelupkan sekali ke dalam neraka, setelah itu ditanyakan kepadanya: Wahai anak Adam, adakah kau pernah melihat kebaikan sedikit pun, adakah kau pernah merasakan kenikmatan ini sedikit pun? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Rabb. Kemudian orang paling sengsara di dunia yang termasuk penghuni syurga didatangkan kemudian ditempatkan di syurga sebentar, setelah itu ditanyakan kepadanya: Wahai anak Adam, adakah kau pernah melihat kesengsaraan hidup sedikit pun, adakah kau pernah merasa sengsara sedikit pun? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Rabb, aku tidak pernah merasa sengsara sedikit pun dan aku tidak melihat kesengsaraan pun”. ( H.R muslim, 5021).

Ya Allah, berikanlah kepada Kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah Kami dari siksa neraka”. Amin Ya Rabbal ‘alamin.



Pena Qalam Hazim
Kolej Keris Mas UKM

Comments

Popular posts from this blog

Medan Ilmu Seluas Lautan

Sulung Padamu Ada Amanah

Mulianya bumi Syria…