Elak taksub dalam agama
NILAI agama terletak sepenuhnya pada wahyu. Oleh itu kita perlu memperbetulkan metodologi dalam berkomunikasi dan berbicara mengenainya.
Tidak kira ustaz atau sesiapa saja berkaitan agama, perkara pokoknya adalah sumber, dan bagaimana sumber itu diulas.
Dengan itu, manusia bebas daripada gejala taksub kepada individu mahupun kumpulan tertentu. Ini kerana agama Islam ini asasnya bersumberkan al- Quran dan hadis, bukan bersumberkan pendapat manusia.
Islam adalah agama yang berbeza dengan agama lain. Umat Islam diberikan asas untuk beribadat dan asas untuk beragama. Jika melihat agama Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan paderi dan rahib sebagai tandingan selain ALLAH SWT.
Oleh itu Nabi Muhammad SAW ketika menegur sahabatnya yang memeluk Islam yakni ‘Ady ibn Hatim RA, apabila dia datang kepada Baginda SAW dalam keadaan memakai salib.
Nabi Muhammad SAW memintanya agar menanggalkan salib tersebut. Baginda SAW membaca firman ALLAH: “Mereka menjadikan orang alim dan rahib mereka sebagai tuhan (tempat rujukan) selain ALLAH.” (Surah At Taubah: 31)
‘Ady Ibn Hatim RA tercengang dengan perkataan Nabi Muhammad SAW, kemudian dia berkata: “Wahai Rasulullah, kami tidaklah beribadah kepada mereka.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Bukankah mereka menghalalkan untuk kalian apa yang ALLAH haramkan sehingga kalian pun menghalalkannya, dan mereka mengharamkan apa yang ALLAH halalkan sehingga kalian pun mengharamkannya?”
Beliau (‘Ady bin Hatim) berkata : “Benar”. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Itulah (yang dimaksudkan) beribadah kepada mereka.” (Riwayat Ahmad)
Mereka mendengar dan mengikuti perkataan orang alim dalam kalangan mereka yang tidak selayaknya bercakap mengenai agama ALLAH dan mereka membiarkan orang ini berkata-kata perihal agama, seterusnya mengikuti apa saja yang disampaikan.
Larangan Ghuluw
Rasulullah SAW banyak berpesan mengenai larangan bersikap ghuluw (berlebih-lebihan). Ketika sahabat memuji-muji Nabi Muhammad SAW, di mana mereka memanggil
Baginda SAW dengan gelaran “Wahai Rasulullah, Wahai orang yang terbaik di antara kami! Wahai Sayyidi (penghulu kami) dan putera penghulu kami!” Baginda SAW segera membantahnya dan mengatakan,“Wahai manusia, ucapkanlah dengan ucapan yang biasa kamu ucapkan, supaya syaitan tidak merasuki kamu. Aku adalah Muhammad bin Abdullah, hamba ALLAH dan Rasul-Nya. Aku tidak suka kamu menyanjung atas kedudukan yang ALLAH berikan kepadaku.” (Riwayat Ahmad)
Jika Rasulullah SAW sendiri tidak suka dan tidak mengizinkan orang memuji dan memujanya lebih daripada tahap kedudukannya, apatah lagi kita manusia biasa.
Di manakah kedudukan kita sebagai manusia biasa yang tentunya jauh lebih rendah umpama langit dan bumi berbanding dengan kedudukan
Baginda SAW. Sering dilihat masyarakat mudah menjadikan seseorang itu ikon atau ikutan kerana kepandaiannya bercakap atau memberi motivasi. Sedetik dia bercakap boleh membuatkan orang menangis, sedetik dia berkata-kata membuat orang ketawa.
Manusia menyanjung tinggi dan memujanya. Pantang orang menyentuh sedikit kesilapannya, melentinglah pemujanya.
Bagaimana seseorang itu boleh diterima perkataannya kalau ia tidak bersumberkan wahyu? Ketahuilah, wahyulah yang mengubah dunia Arab suatu ketika dahulu. Wahyu inilah yang menyebabkan orang seperti Umar, Uthman, Ali, Muawiyah, Hamzah, dan sahabat lain menerima Islam, berpegang kuat dan sanggup mati kerananya.
Lihatlah bagaimana wahyu melahirkan generasi yang sangat hebat. Adakah kita melahirkan generasi yang hebat dari segi kekuatan rohaniah? Tidak. Kita mungkin boleh dikatakan hebat dari sudut penampilan, cara berpakaian, cara kawad, persediaan persenjataan, ekonomi, urusan dunia secara umumnya, namun tidak lebih dari itu.
Di manakah kekuatan akidah umat Islam pada hari ini?
Dengan wahyu, manusia pada zaman sahabat menjadi kuat imannya, teguh pegangannya tanpa sedikit pun keraguan dalam hati mereka. Lihatlah apabila Nabi Muhammad SAW menyebut sahaja sesuatu, mereka lantas melaksanakannya tanpa sebarang pertikaian kerana mereka faham yang menghubungkan mereka dengan Rasul SAW adalah wahyu ALLAH.
Mereka cukup faham akan kedudukan sumber agama, hati mereka diikat dengan wahyu lantas menjadikan ALLAH reda dengan mereka dan mereka menjadi generasi yang mulia. Hari ini, walaupun ramai yang mengenali sumber agama, al- Quran dan al-Sunnah, namun timbul satu lagi masalah; iaitu kebanyakan umat Islam tidak mengetahui kaedah yang benar untuk memahami sumber agama itu.
Mengaku al-Quran, Sunnah
Golongan yang sesat 1400 tahun dahulu seperti Khawarij, Qadariyah, Jabriyah, Syiah dan Murji-ah, mereka menggunakan nas al-Quran dengan pemahaman yang salah sehingga mengkafirkan sahabat Nabi Muhammad SAW. Mereka membaca ayat al-Quran seperti, “Tidak ada hukum melainkan hukum ALLAH” (Surah Al-An’aam: 57).
Lalu mereka mengangkat pedang dan meletakkan al-Quran di hujung pedang sehinggakan Ali bin Abi Thalib berkata dengan perkataan yang cukup indah,
“Perkataan yang benar, tetapi mereka menginginkan maksud yang batil.” Maka tidak semestinya orang yang berdalilkan al-Quran dan Sunnah itu tepat kaedah mereka memahaminya.
Oleh itu penting bagi setiap umat Islam mempelajari dan mengetahui kaedah memahami al-Quran dan Sunnah supaya tidak terkeliru atau tertipu dengan pelbagai tafsiran agama yang saling bercanggah.
Tanpa mengetahui kaedah asas untuk memahami al-Quran dan Sunnah, atau sumber mana perlu dirujuk dalam bidang tafsir, hadis, dan fikah, ini akan timbul keburukan yang lebih besar sekiranya masyarakat malas mempelajari agama mereka lalu menerima apa saja maklumat yang disampaikan.
Kebiasaan masyarakat yang tidak tahu buku apa yang wajar dijadikan rujukan, mencari buku yang kulitnya menarik, dan membelinya atau berdasarkan tajuk yang diminati.
Mereka membeli buku tanpa mengetahui kaedah menyebabkan sumber bacaan mereka menjadi pelbagai dan menjadi semakin keliru dengan agama lantaran ilmu yang bercampur aduk antara yang haq dan yang batil.
Sebab itu Islam menitikberatkan kaedah asas mengambil dan memahami sumber agama. Ulama terdahulu sangat berhati-hati dalam memilih guru dan memilih anak murid.
Contohnya adalah sikap tegas Imam Ahmad apabila anak muridnya, Al-Harits Al-Muhasibi meminta izinnya ingin belajar dengan tokoh Ahli Kalam, Muhammad Ibn Kilab. Muhammad bin Kilab adalah antara tokoh ahli kalam yang popular pada zaman Imam Abul Hasan Al-Asy’ari, di mana Imam Abul Hasan Al-Asyari setelah meninggalkan aliran Muktazilah, dia terpengaruh pula dengan akidah dan pendekatan Muhammad ibn Kilab yang membentuk akidah Kullabiyah.
Muhammad bin Kilab adalah orang yang pandai berdebat dan hebat mematahkan hujah. Dahulu ulama Islam menggelar mereka sebagai Al- Mutakallimun (ahli Kalam – orang yang pandai bercakap).
Orang yang membawa dalil juga boleh kalah berdebat dengan mereka, kerana ahli kalam pandai bercakap dan hebat dalam berdebat.
Cuba kita bercakap bab agama dengan orang yang kerjanya hanya duduk di kedai kopi sambil bermain dam dari pagi sampai petang. Ada kebarangkalian kita yang akan kalah. Kita habis belajar tahap kedoktoran pun dia tidak kira, malah dia kata kita tidak habis belajar, dan akhirnya dia yang menang.
Golongan Mutakallimun seperti ini hanya berbicara secara rasional dan akal-akalan, bukan berasaskan kaedah, fakta dan bukti.
Sebab itu Imam Ahmad apabila anak muridnya minta hendak belajar dari ahli kalam, orang yang pandai bercakap seperti Muhammad bin Kilab, Imam Ahmad menjawab, “Jika engkau pergi kepadanya, maka jangan engkau kembali kepadaku.” Kemudian Imam Ahmad berkata lagi, “Kamu hampir tidak akan melihat seorang pun yang cenderung pada ilmu kalam kecuali dalam hatinya ada penyakit hasad.”
Ulama dulu tidak mengizinkan langsung muridnya pergi ke arah lain atau berguru, mengambil ilmu daripada sesiapa sahaja. Ini yang dikatakan manhaj; perlu ada jalan yang jelas dan terang dalam mengambil dan memahami sumber agama.
Fahami dahulu akidah Ahli Sunnah, faham dulu prinsip asas sebelum yang lain.
Seseorang itu tidak akan boleh membezakan antara kebenaran dan kebatilan tanpa mempelajari manhaj dan kaedah asas ini terlebih dahulu.
Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (iLMU )
Dr Fathul Bari Mat Jahya
Repost by Qalam Hazim...
Comments
Post a Comment